Oleh: Amanda Lopez
PUTRAJAYA: Kerajaan serius dalam memerangi aktiviti kartel yang sekian lama wujud di dalam ekosistem perniagaan di seluruh negara.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, langkah ini penting memandangkan kegiatan kartel dikesan antara penyebab peningkatan harga barangan asas.
“Pada awal tahun ini, apabila nilai ringgit menyusut berbanding dengan dolar Amerika, peniaga ambil kesempatan untuk naikkan harga barang. Tapi dalam beberapa bulan yang lepas, apabila ringgit bertambah kukuh kita tidak nampak pula harga barangan menurun.
“Ini adalah perkara yang MyCC akan beri tumpuan melihat bagaimana tidak berlaku amalan dari segi penetapan harga yang tidak sihat,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama TV3.
Tambahnya, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) diberikan tanggungjawab untuk menjejak kegiatan kartel di beberapa cabang rantaian bekalan barangan asas.
Ini penting bagi memastikan pembekal tidak menaikkan harga barangan sesuka hati, tanpa sebab.
Dengan itu, MyCC memperuntukkan hampir tiga kali ganda mencecah RM27 juta bagi membanteras kartel sebagaimana diumum dalam Belanjawan 2025.
Menyentuh mengenai penyasaran subsidi RON95 pula, Johan berkata paras pendapatan isi rumah bukan penentu utama dalam menentukan kelayakan subsidi.
“Contohnya bagi penyasaran semula subsidi elektrik, ia guna tahap penggunaan, untuk penyasaran semula diesel, ia mengambil kira tahap pendapatan individu dan juga sama ada individu tersebut memiliki atau menggunakan kereta mewah,” jelasnya.
Jelas beliau, tinjauan pendapatan isi rumah T15 pada sekitar RM13,000 yang dilaksana sebelum ini adalah hanya rujukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen baru-baru ini juga telah memberi jaminan paras untuk subsidi RON95 akan dikaji semula pada ambang yang lebih tinggi.
Langkah itu bagi memastikan majoriti rakyat di negara ini masih dapat menikmati subsidi ini di samping mengurangkan ketirisan termasuk penyeludupan ke rentas sempadan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.