KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menyaksikan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 5.1 peratus pada suku pertama 2023 (S1 2023), berikutan prestasi pembuatan yang lebih baik dicatatkan pada Mac 2023, kata Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).
Semalam, S&P Global melaporkan pelarasan musim bagi indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan Malaysia meningkat kepada paras tertinggi lima bulan 48.8 pada Mac 2023 daripada 48.4 pada Februari 2023, sekali gus menunjukkan peningkatan permintaan dalam sektor pembuatan.
Dalam catatan hari ini, Kenanga IB juga mengunjurkan pertumbuhan KDNK 2023 akan mencapai 4.7 peratus, disokong oleh permintaan domestik dan langkah dasar yang berdaya tahan di bawah Belanjawan 2023.
“Ini akan dirangsang lagi oleh ketibaan pelancong asing yang lebih tinggi dan kesan pembukaan semula China,” katanya.
Mengenai prestasi sektor perkilangan, Kenanga IB berkata walaupun PMI pembuatan kekal pada tahap penguncupan 47.9 secara purata pada suku pertama 2023 (S1 2023) berbanding 48.1 pada S4 2022, ia percaya aktiviti pembuatan di negara ini boleh mengekalkan tahap sederhana pemulihan dalam beberapa bulan akan datang.
Ia menambah pemulihan itu akan disokong terutamanya oleh sektor berorientasikan domestik.
Bacaan melebihi 50 peratus menandakan pengembangan dalam aktiviti perniagaan manakala angka kurang daripada itu menunjukkan penguncupan. -BERNAMA