Oleh: Afrina Romzi
PETALING JAYA: Pemain industri sawit negara menyambut baik cadangan kajian semula levi keuntungan luar biasa (WPL) untuk dikembalikan kepada industri bagi proses tanaman semula, yang diutarakan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Carl Bek-Nielsen berkata langkah ini dapat memastikan pemain industri tempatan dapat bersaing dengan hasil yang lebih tinggi terutamanya untuk pekebun kecil, serta membantu mengurangkan kos pengeluaran minyak sawit.
“Cara terbaik untuk meningkatkan daya maju ekonomi , selain keupayaan bersaing dalam pasaran terbuka adalah untuk mencapai hasil yang tinggi. Cara terbaik untuk mengurangkan kos juga adalah untuk mendapatkan hasil yang tinggi dan inilah yang dimaksudkan dengan cadangan menteri Datuk Seri Johari, memastikan kita dapat melakukan penanaman semula,” katanya kepada BuletinTV3 hari ini.
Semalam, Datuk Seri Johari mengesahkan kerajaan bercadang mengkaji semula WPL ke atas minyak sawit.
Hal ini berikutan formula pengiraan cukai terbabit tidak lagi relevan memandangkan peningkatan kos tinggi bagi setiap penghasilan satu tan metrik minyak sawit.
“Dulu kos mengeluarkan minyak sawit kira-kira RM1,800 satu tan, tetapi kini boleh mencecah RM2,800 hingga RM3,200, bergantung kepada saiznya.
“Kos kita gunakan pada RM1,800 mungkin sesuai guna WPL, tetapi kini tidak lagi apabila dagangan pasaran kira-kira RM3,800 hingga RM3,900 dengan kos melebih RM3,000,” Datuk Seri Johari menjawab soalan tambahan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai WPL dan sama ada pemain industri mendapat manfaat terutama dalam usaha mempercepat proses penanaman semula sawit di Dewan Rakyat, semalam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.