
KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan PETRONAS menjalin kerjasama bagi kajian penggunaan minyak masak terpakai dan sisa minyak sawit sebagai bahan mentah untuk pengeluaran biobahan api penerbangan mampan (SAF) di Malaysia.
Kedua-dua organisasi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 14 Ogos lalu untuk meneroka potensi produk berasaskan sawit iaitu minyak masak terpakai dan sisa buangan sawit di peringkat kilang seperti efluen kilang minyak sawit (POME) sebagai bahan mentah utama untuk kilang penapisan bio tempatan bagi menghasilkan SAF.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Naib Presiden Penapisan, Pemasaran dan Perdagangan, Perniagaan Hiliran, PETRONAS, Ahmad Adly Alias menyempurnakan perjanjian persefahaman itu yang merintis kepada kerjasama dua pihak dalam dalam penggunaan minyak sawit terpakai dan sisa buangan sawit bagi menyumbang kepada penjanaan tenaga mampan serta kesejahteraan ekonomi negara.
MPOB dan PETRONAS akan bekerjasama membangunkan rangka kerja termasuk kebolehkesanan minyak masak terpakai dan sisa bahan buangan sawit, selain akan mengatur strategi komunikasi, pendidikan dan kesedaran umum mengenai kepentingan penggunaan minyak masak terpakai dan sisa buangan sawit sebagai bahan mentah utama.
Pemeterian MoU juga sejajar dengan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menjadikan sektor tenaga sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi negara.
Ahmad Parveez berkata, pengeluaran SAF dengan mengitar semula minyak masak terpakai dan bahanbuangan sawit amat bertepatan dengan salah satu konsep Ekonomi MADANI yang menggalakkan pertumbuhan teknologi hijau.
“Industri sawit adalah contoh kejayaan ekonomi sirkular yang berkonsepkan penghapusan bahan buangan, pengitaran semula produk dan pelestarian alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam rantaian industri sawit, di peringkat ladang menghasilkan bahan buangan seperti batang dan pelepah sawit yang diproses untuk dijadikan papan komposit serta makanan ternakan.
Di peringkat kilang, tandan kosong diproses semula untuk menghasilkan serat atau ‘fibre; untuk pelbagai kegunaan, tempurung sawit digunakan untuk bahan bakar di kilang, hampas isirung boleh diproses untuk dijadikan makanan haiwan, POME boleh diproses untuk menghasilkan baja dan ekstrak fenolik, manakala minyak keladak boleh diproses untuk penghasilan biodiesel.