Tumpuan :
Detik Niaga

Kadar pengambilan fasa baharu kediaman M Senyum Mah Sing cecah 88%

KUALA LUMPUR: Sebanyak 139 unit rumah teres dua tingkat Rosalia di bawah pembangunan kediaman bertanah M Senyum oleh Mah Sing Group Bhd di Bandar Salak Tinggi, Sepang, mendapat sambutan amat menggalakkan dengan kadar pengambilannya mencecah 88 peratus pada hujung minggu.

Dalam kenyataannya hari ini, Mah Sing berkata projek kediaman Rosalia dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM95 juta dan berharga RM560,000 seunit, menawarkan kemudahan empat bilik tidur dan tiga bilik air dengan keluasan daripada 1,685 kaki persegi hingga 1,761 kaki persegi atau 20 kaki x 70 kaki (20’ x 70’).

M Senyum merupakan pembangunan berkeluasan 40.47 hektar dengan 1,176 unit teres dua tingkat yang diilhamkan daripada konsep kehidupan luar bandar berteraskan minimalis.

Menurut Mah Sing, susulan sambutan positif itu, sebanyak 160 unit M Senyum Rosalia 2 dijangka dilancarkan pada suku kedua 2023 pada harga bermula daripada RM530,000 seunit dan keluasan tanah 20’ x 65’ serta 20’ x 70’ selain turut merancang melancarkan unit rumah contoh di kawasan sama.

“M Senyum juga dijadual melancarkan 178 unit rumah bandar dua tingkat Rumah Selangorku (RSKU), yang berkeluasan 1,000 kaki persegi (20’ x 70’) dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air yang berharga RM200,000 seunit,” katanya.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Tan Sri Leong Hoy Kum menyifatkan pelancaran Rosalia M Senyum itu sebagai permulaan tahun 2023 yang menarik bagi syarikat itu.

“Berdasarkan sambutan yang positif itu, kami yakin fasa seterusnya iaitu Rosalia 2 selain kediaman M Series Mah Sing akan turut mengulangi kejayaan tersebut.

“Kami juga menjangkakan perancangan kukuh projek-projek sedia ada serta akan datang ini dapat terus menyumbang kepada kumpulan dalam tahun kewangan 2023 selain meletakkan Mah Sing di landasan tepat dalam memenuhi sasaran jualan minimum RM2.2 bilion tahun ini,” katanya.

Leong berkata kumpulan itu turut melancarkan kempen jualan suku pertama ’Mah Sing Secured’ yang menawarkan perjalanan pemilikan rumah tanpa bimbang untuk pembeli.

“Kempen Jualan 5S itu menawarkan kadar faedah tetap, skim pembayaran yang dipertingkat, pakej dan insentif menarik serta ganjaran tambahan.

“M Senyum adalah antara projek dalam kempen ini. Kami yakin kempen ini amat tepat pada masanya bagi membantu menangani kebimbangan pembeli dalam menempuh perjalanan pemilikan rumah tanpa rasa bimbang selain mengharungi keperluan mengekang inflasi,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini