comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kadar inflasi diramal terus terkawal pada tahun ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Inflasi keseluruhan dan inflasi teras akan kekal sederhana pada tahun ini, disebabkan terutamanya oleh tekanan kos yang lebih rendah berikutan keadaan permintaan yang semakin stabil.

Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi kenyataannya berkata, pada 2024, inflasi dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan kos dan permintaan yang stabil.

“Bagaimanapun, prospek inflasi sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negeri membabitkan subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global,” katanya.

BNM berkata, inflasi keseluruhan terus menurun kepada 1.6 peratus pada suku keempat tahun lalu daripada 2.0 peratus pada suku sebelumnya.

Katanya, trend penurunan itu disumbangkan oleh pengurangan inflasi makanan segar yang menyusut kepada 0.5 peratus pada suku keempat dan inflasi teras pada 2.0 peratus.

“Inflasi teras yang lebih rendah didorong terutamanya oleh inflasi yang semakin reda dalam sub-segmen perkhidmatan termasuk makanan di luar rumah serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan persendirian.

“Trend rebakan inflasi terus menurun berikutan bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan berkurang kepada 36.3 peratus pada suku dikaji.

“Keadaan ini menyebabkan rebakan inflasi berada di bawah purata jangka panjang suku keempatnya (2011-2019) sebanyak 41.7 peratus,” katanya.

Bagi tahun 2023, bank pusat berkata, inflasi keseluruhan menurun kepada 2.5 peratus manakala inflasi teras berada pada kadar purata 3.0 peratus.

Dalam perkembangan lain, BNM berkata ia akan terus memastikan mudah tunai mencukupi untuk menyokong fungsi pasaran pertukaran asing domestik yang teratur.

Bank pusat itu berkata, pasaran kewangan domestik terus didorong oleh jangkaan pasaran yang berubah-ubah berhubung dengan hala tuju dasar monetari global.

“Khususnya, peserta pasaran kewangan berpandangan bahawa kadar dasar Amerika Syarikat (AS) telah mencapai paras tertingginya dan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mula mengurangkan kadar dasar pada tahun ini dalam keadaan disinflasi yang berterusan.

“Berlatarkan keadaan ini, ringgit menambah nilai sebanyak 2.1 peratus berbanding dolar AS pada suku keempat 2023, selaras dengan mata wang serantau susulan penurunan nilai dolar AS yang meluas. Selain itu, kedudukan luaran Malaysia juga kekal menyokong aliran masuk,” katanya.

Sementara itu, BNM berkata kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 4.7 peratus, didorong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman perniagaan sebanyak 3.6 peratus manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul menurun kepada 4.2 peratus.

“Pertumbuhan pinjaman perniagaan yang lebih tinggi didorong terutamanya oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman modal kerja. Yang penting, pertumbuhan pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kekal menggalakkan pada 8.2 peratus.

“Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul terus stabil pada 5.6 peratus, mencerminkan pertumbuhan yang berterusan bagi tujuan pinjaman yang utama,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini