comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Kadar inflasi 2024 ambil kira rasionalisasi subsidi petrol

KUALA LUMPUR: Inflasi keseluruhan pada 2024 dijangka berada antara dua peratus dan 3.5 peratus selepas mengambil kira potensi kenaikan disebabkan oleh rasionalisasi subsidi terutamanya petrol.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, berkata inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana berikutan tekanan kos yang terkawal susulan keadaan bekalan global yang bertambah baik.

“Julat unjuran inflasi telah mengambil kira beberapa potensi kenaikan daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api.

“Kesan langsung terhadap inflasi keseluruhan dijangka hanya dalam tempoh pendek. BNM akan terus memantau data daripada perkara ini selepas pelaksanaan rasionalisi subsidi bahan api.

“Pendekatan kami terhadap dasar monetari akan terus berpandukan data dan sedia untuk bertindak balas terhadap perubahan landskap ekonomi,” katanya pada sidang media Laporan Tahunan 2023, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2023 di sini hari ini.

Abdul Rasheed berkata, risiko kenaikan inflasi turut berpunca daripada pendorong luaran seperti ketegangan geopolitik dan gangguan cuaca yang memberikan kesan terhadap harga komoditi global.

Gabenor bank pusat itu berkata, walaupun rasionalisasi subsidi mungkin memberikan implikasi jangka pendek terhadap pertumbuhan dan inflasi, strategi pelaksanaan yang dirancang dan dilaksanakan dengan baik bersama-sama dengan bantuan tunai bersasar akan membantu mengurangkan kesan ini.

Katanya, dasar monetari BNM akan terus berpaksikan masa hadapan dengan tumpuan diberikan pada trajektori pertumbuhan dan inflasi.

“Dalam konteks senario kejutan bekalan, contohnya yang berkait dengan rasionalisasi subsidi, amat penting untuk kesan jangka pendek terhadap inflasi dan pertumbuhan dibezakan daripada potensi kesan jangka panjangnya.

“Apabila pelarasan harga relatif bersifat sementara dan dijangka kembali ke paras lazim dalam tempoh masa yang munasabah, keadaan ini mungkin tidak memerlukan tindak balas dasar monetari.

“Sebelum merumuskan sebarang tindak balas dasar monetari, BNM akan menilai dengan teliti kesan rasionalisasi subsidi terhadap sejauh mana kenaikan harga berleluasa dan berterusan serta implikasinya terhadap pertumbuhan,” katanya.

Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 juga menunjukkan dinamik upah-harga boleh mewujudkan risiko kebarangkalian yang kecil terhadap inflasi, meskipun risiko kesan pusingan kedua sedemikian dinilai sebagai kecil di Malaysia kerana kenaikan gaji adalah selaras dengan pertumbuhan produktiviti.

Meskipun demikian, BNM berkata kesan jangka pendek rasionalisasi subsidi bahan api terhadap inflasi dan pertumbuhan juga akan bergantung kepada jumlah dan masa pelarasan harga itu.

Selain itu, kata bank pusat skop bantuan bersasar yang diberikan seiring dengan rasionalisasi subsidi juga adalah penting, kerana bantuan itu akan mengurangkan kesan kos yang lebih tinggi terhadap golongan yang mudah terjejas berikutan peralihan terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 

Loading...
Terkini