Oleh: Afrina Romzi
PETALING JAYA: Kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang meningkat mendadak sejak pandemik, antara faktor kelembapan pasaran saham global di kebanyakan negara termasuk Malaysia.
Menurut Maybank Investment Bank, pelabur asing menjual bersih saham tempatan bernilai RM4.19 bilion pada separuh pertama 2023 dan tindakan ini melenyapkan sebahagian besar belian bersih sepanjang 2022 bernilai RM4.4 bilion.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata aliran keluar dana asing yang besar ini turut menyebabkan prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.7 peratus sejak Januari lalu.
Beliau juga percaya fenomena ini bukan hanya berlaku di Malaysia, malah turut dirasai negara serantau termasuk Filipina dan Thailand.
Bagaimanapun, dana asing dijangka kembali ke rantau Asia Tenggara pada suku ke-empat susulan jangkaan pertumbuhan ekonomi yang stabil termasuk Malaysia.
“Kami yakin pengembalian dana asing kembali ke rantau ini akan memberi manfaat kepada pasaran Malaysia berikutan pertukaran ringgit yang menggalakkan berbanding dolar AS dan penilaian FBM KLCI yang menarik,” katanya kepada BuletinTV3.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid, turut berpendapat minat belian pelabur asing dijangka akan disokong dasar ekonomi kerajaan serta persekitaran politik yang stabil.
Ketika ini, tekanan jualan saham tempatan oleh pelabur asing mampu diserap pelabur institusi Malaysia yang besar.
“Pelabur institusi yang besar seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan sebagainya akan boleh menyerap tekanan jualan tersebut. Sambil itu, banyak lagi syarikat-syarikat yang berpotensi tinggi yang boleh mewujudkan peluang pelaburan bagi para pelabur institusi tempatan,” katanya kepada BuletinTV3.
Tambah beliau, pasaran modal Malaysia tidak harus hanya tertumpu kepada pasaran saham kerana pasaran bon menunjukkan prestasi positif dengan kemasukan pelabur asing bernilai RM15.9 bilion untuk lima bulan pertama tahun ini.