KUALA LUMPUR: S&P Global Ratings menjangkakan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) akan terus meningkat tahun ini yang berpotensi memberikan lagi tekanan terhadap pasaran Asia Pasifik (APAC).
Ketua Ahli Ekonominya bagi Asia Pasifik Louis Kuijs berkata impak kadar faedah tinggi akan lebih dirasai pada separuh kedua tahun ini, yang akan mengakibatkan kelembapan ekonomi di rantau APAC, kecuali China.
“Kelembapan masih pada kadar yang ketara. Kami menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) APAC tidak termasuk China berkembang 3.8 peratus, turun daripada 4.7 peratus pada 2022.
“(Pertumbuhan ekonomi) yang mencatatkan peningkatan adalah Malaysia dan Hong Kong, manakala yang mencatatkan penurunan ialah New Zealand dan Taiwan,” katanya pada sesi webinar bertajuk ‘Global Credit Conditions Third Quarter: A Slow Burn’ (sesi APAC) hari ini.
Terdahulu, S&P mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang pada 3.2 peratus tahun ini.
Kuijs berkata ekonomi APAC lain dijangka mencatatkan pertumbuhan perlahan berikutan kelembapan global dan kenaikan kadar faedah.
“Namun, daya tahan domestik secara amnya diunjur mengekalkan pertumbuhan yang ketara,” katanya sambil menambah kadar faedah AS dijangka hanya mereda pada tahun depan.
Mengenai perkembangan lain, beliau berkata pemulihan China dijangka berterusan tetapi akan kekal tidak sekata bagi sebahagian besar tahun ini, dengan kelembapan industri.
“Gesaan bagi pakej rangsangan di China semakin meningkat dan kami tidak menjangkakan pakej yang sangat besar tetapi dalam bentuk beberapa langkah yang dilaksanakan pada bulan-bulan akan datang, seperti dalam sektor perumahan dari segi sekatan pembelian rumah dan juga sedikit mengenai dasar monetari.
“Bagaimanapun, berikutan data lemah yang kita lihat dalam tempoh beberapa bulan ini dari segi industri, kami telah menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK 2023 kita kepada 5.2 peratus daripada 5.5 peratus,” katanya.
Menurutnya, dengan inflasi teras berurutan secara amnya berkurangan dan kebanyakannya sederhana di peringkat global, justeru, keperluan untuk menaikkan kadar faedah dasar telah mereda, kecuali beberapa pengecualian.
Bagaimanapun, katanya, penurunan kadar akan menjadi lambat untuk dilaksanakan, sebahagiannya disebabkan oleh kadar AS yang kekal tinggi untuk tempoh yang lama.
BERNAMA