Tumpuan :
Detik Niaga

Juwai IQI unjur KDNK 2023 Malaysia tumbuh pada 4.7%

KUALA LUMPUR:Kumpulan teknologi hartanah Juwai IQI mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia mencatat pertumbuhan pada 4.7 peratus tahun ini dan seterusnya  4.9 peratus bagi 2024.

Pengarah Urusan Valuers International Sdn Bhd, Irhamy Ahmad berkata pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan sebanyak 30 peratus dalam aspek pekerjaan penilaian bagi jentera pembinaan dan kelengkapan kilang yang besar.

“Ini berikutan syarikat-syarikat sedang dalam proses meningkatkan jentera masing-masing bagi menambah produktiviti serta menampung peningkatan permintaan…dan ini satu petanda yang amat baik untuk ekonomi,” katanya dalam kenyataan syarikat itu yang merupakan sebahagian daripada Juwai IQI.

Pada minggu lepas, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan bahawa ekonomi negara ini berkembang pada 2.9 peratus bagi suku kedua 2023, disokong oleh peningkatan pasaran tenaga kerja serta kenaikan berterusan dalam permintaan domestik dan aktiviti berkaitan pelancongan.

Menjelaskan selanjutnya, Irhamy berkata tiada pihak yang harus memandang ringan terhadap prestasi kukuh Malaysia yang terpaksa bertindak bagi menangani kejutan seperti ketiadaan pelancong China yang berterusan.

“Pelancongan menyumbang sebanyak 13 peratus daripada aktiviti ekonomi, namun perbelanjaan terbesar yang pernah berlaku pada tempoh sebelum COVID-19, masih belum diperoleh semula.

“Pada cuti musim panas, (jumlah) pelawat China hanya 30 peratus berbanding tahap sewaktu pra-COVID,” katanya.

Menurutnya, selain pelancongan, tiga sektor yang memacu prospek lebih positif adalah peralihan kepada pelepasan sifar bersih, perdagangan serta ekonomi digital.

Beliau juga menyifatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia memerlukan lebih banyak tenaga dan peralihan kepada pelepasan sifar bersih itu akan menyaksikan penggantian penjanaan tenaga dengan alternatif hijau serta pembinaan kapasiti mesra alam itu daripada peringkat awal lagi.

“Penyahkarbonan akan mewujudkan lebih banyak peluang-peluang baharu yang penting. Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan sektor tenaga sahaja memerlukan pelaburan sebanyak RM1.85 trilion menjelang 2050.

“Pada bulan lepas, Malaysia mengumumkan hasrat syarikat terkemuka Tesla membuka ibu pejabatnya di Selangor walaupun Indonesia turut berusaha menarik pengeluar kereta elektrik itu. Ini hanya membuktikan bahawa Malaysia mampu mencapai kejayaan dalam cita-cita hijaunya,” katanya.

Selain itu, Irhamy juga berpendapat bahawa perdagangan menjadi elemen kedua yang memacu pertumbuhan ekonomi di Malaysia, hasil daripada penyertaannya dalam blok Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik.

Faktor ketiga yang menyumbang kepada kekukuhan KDNK Malaysia adalah perkembangan pesat ekonomi digital yang mewakili penjanaan setiap satu daripada empat ringgit Malaysia menjelang 2025.

“Tindakan Malaysia membuat pelaburan berwawasan dalam 5G adalah antara pengupaya dengan dua pertiga daripada kawasan yang berpenduduk telah menikmati liputan rangkaian itu setakat 31 Julai lepas.

“Sehubungan itu, pendigitalan akan menaikkan pertumbuhan serta mengurangkan kos dalam sektor-sektor terbabit yang hanya dapat meningkatkan lagi pertumbuhan KDNK secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, secara menyeluruh, Malaysia mempunyai kekuatan dari segi ekonomi dan dijangka meraih manfaat dalam dua tahun akan datang daripada usaha pendigitalan, pertumbuhan perdagangan dan peralihan tenaga yang turut menarik lebih banyak pelaburan baharu.

Loading...
Terkini