Tumpuan :
Detik Niaga

Jumlah perdagangan, eksport Malaysia merosot 14.4% pada Julai

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Di sebalik ekonomi global yang semakin mencabar, prestasi perdagangan Malaysia merosot pada Julai 2023, jatuh 14.4% kepada RM216.4 bilion berbanding setahun yang lalu. Seiring dengan itu, eksport mencatatkan penurunan 13.1% kepada RM116.8 bilion, manakala import berkurang 15.9% kepada RM99.7 bilion.

Bagaimanapun, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan mendedahkan imbangan dagangan kekal dengan lebihan berjumlah RM17.1 bilion pada Julai 2023.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan eksport didorong oleh kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.

“Eksport domestik bernilai RM89.1 bilion, menyumbang 76.3% kepada jumlah eksport, menurun 13.0% pada Julai 2023.

Eksport semula berjumlah RM27.6 bilion, menyusut 13.5%, berbanding Julai 2022. Import turun 15.9% daripada RM118.5 bilion kepada RM99.7 bilion,” katanya.

Sementara itu, lebihan dagangan Malaysia pada Julai 2023 meningkat 7.9 % atau RM1.3 bilion berbanding tahun sebelumnya kepada RM17.1 bilion. Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-39 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Perbandingan bulanan menunjukkan eksport turun 5.8%, manakala import meningkat 1.3% berbanding Jun 2023.

Meninjau dari sudut kumpulan barangan, 144 daripada 258 kumpulan eksport menunjukkan penurunan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, terutamanya keluaran petroleum bertapis. Bagi import, 143 daripada 258 kumpulan merekodkan pertumbuhan negatif.

Eksport yang lebih rendah disumbangkan terutamanya oleh pengurangan ketara ke Singapura (-RM4.4 bilion), diikuti oleh Jepun (-RM2.1 bilion), Thailand (-RM1.1 bilion), Emiriah Arab Bersatu  (-RM1.1 bilion), Filipina (-RM927.8 juta), Indonesia (-RM923.8 juta), Bangladesh (-RM888.9 juta) dan India (-RM859.8 juta).

Sementara itu, penurunan import terutamanya disumbangkan dari China (-RM4.4 bilion), diikuti oleh Taiwan (-RM3.8 bilion), Indonesia (-RM2.4 bilion), Amerika Syarikat (-RM1.8 bilion), Jepun (-RM1.5 bilion), Australia (-RM1.1 bilion), India (-RM1.1 bilion) dan Singapura (-RM1.0 bilion).

Mengulas lanjut mengenai eksport, penurunan didorong oleh penurunan keluaran petroleum (-RM9.2 bilion); minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (-RM2.9 bilion); gas asli cecair (-RM2.5 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak sawit (-RM1.3 bilion) dan jentera, kelengkapan & peralatan (-RM1.1 bilion). Sementara itu, penguncupan import direkodkan bagi keluaran petroleum (-RM5.7 bilion); barangan elektrik & elektronik (-RM5.4 bilion); kimia & bahan kimia (-RM1.3 bilion); kelengkapan pengangkutan (-RM536.3 juta); barangan perkilangan logam (-RM495.3 juta) dan minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (-RM485.4 juta).

Selanjutnya, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan import mengikut Penggunaan Akhir disumbangkan oleh permintaan yang lebih rendah bagi barangan perantaraan dan barangan modal.

Import barangan perantaraan (49.1% daripada jumlah import) bernilai RM48.9 bilion, mencatatkan penurunan dua angka 20.9% atau RM12.9 bilion. Barangan modal bernilai RM10.5 bilion, jatuh 3.6 peratus berbanding Julai 2022 dan merangkumi 10.6% daripada jumlah import.

Manakala, barangan penggunaan (9.0% daripada jumlah import) mencatatkan peningkatan 5.9 % daripada RM8.5 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM9.0 bilion.”

Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2023, jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan penurunan. Jumlah dagangan menurun 6.1%, berikutan penyusutan eksport (-5.9%) serta import (-6.5%). Pada masa yang sama, lebihan dagangan merosot 2.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022.

Loading...
Terkini