comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jumlah aset perbankan Islam diunjur lepasi 50% menjelang 2026


Tan Sri Azman Mokhtar ketika ditemui media pada Persidangan Pelaburan Shariah 2024 di Kuala Lumpur, hari ini – FOTO: NSTP

Oleh: Amanda Lopez

KULA LUMPUR: Sistem kewangan Islam negara dilihat kekal kukuh, mampu berkembang lebih 10 peratus, setiap tahun.

Malah, menurut Pengerusi, Majlis Kepimpinan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), Tan Sri Azman Mokhtar, jumlah aset sistem perbankan Islam mampu melepasi 50 peratus menjelang 2026, di sebalik keputusan Kuwait Finance House (KFH) berundur dari pasaran Malaysia.

“Jumlah aset sistem perbankan bernilai RM2.5 trilion sudahpun patuh Shariah, mewakili 45.6% dan dijangka mampu berkembang ke lebih 50%. Bank terbesar Malaysia seperti Maybank sudahpun mencecah 69% aset perbankan patuh Shariah.

Justeru, bagi saya ada syarikat yang datang dan pulang. Tidak menjejas. Secara keseluruhan hala tuju sistem kewangan Islam adalah amat jelas ” katanya ketika ditemui pada Persidangan Pelaburan Shariah 2024 anjuran Bursa Malaysia dan CGS International Securities Malaysia pagi tadi.

Kumpulan KFH baru-baru ini mengumumkan langkah menghentikan operasi Kuwait Finance House (Malaysia) Bhd (KFHMB) di Malaysia selepas 19 tahun beroperasi.

Menurut beliau, dari aspek pasaran modal – lebih 64 peratus iaitu sekitar RM3.9 trilion terdiri daripada sukuk dan ekuiti Islamik.

Sistem kewangan Islam juga dilihat berkembang lebih 11 peratus lebih 20 tahun dengan aset kini bernilai AS$4.5 trilion di peringkat global.

Jumlah ini dijangka mampu mencecah AS$6.7 trilion menjelang 2027.

Institusi kewangan islam wajar pertimbang penyenaraian IPO

Lebih banyak institusi kewangan Islam tempatan juga wajar mempertimbangkan potensi penyenaraian di Bursa Malaysia.

“Saya rasa syarikat seperti Bank Muamalat dan lain-lain ia adalah keputusan pemegang saham. Di Khazanah Nasional, sebagai ialah pemegang saham bukan utama, namun, sudah tentu semua pemegang saham akan sentiasa mengambil perspektif beretika tetapi sama ada untuk disenarai atau tidak, ia adalah pertimbangan komersial.” katanya lagi.

Jelas beliau, langkah penyenaraian bukan sahaja meningkatkan tadbir urus serta meningkatkan nilai syarikat.

Ketika ini, terdapat lima institusi kewangan Islam termasuk Bursa Malaysia, Bank Islam Malaysia Berhad, dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad.

Manakala, 81 peratus syarikat tersenarai di Bursa Malaysia sudahpun patuh Shariah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini