Tumpuan :
Detik Niaga

Jualan Rahmah kini ditawarkan di 3,557 lokasi seluruh negara — Salahuddin

(Tiga dari kiri) Menteri KPDN Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes pada Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah Airasia Superapp hari ini.

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,557 lokasi perniagaan di seluruh negara kini menawarkan Jualan Rahmah setakat 30 Jun lalu.

Manakala inisiatif lain di bawah Payung Rahmah iaitu Menu Rahmah berjaya menarik penyertaan 2,922 pengusaha makanan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata Inisiatif Payung Rahmah mendapat sokongan daripada syarikat besar termasuk McDonalds, Burger King dan Jakel.

“Walaupun ada kebimbangan bahawa ia hanya bersifat sementara, saya yakin program ini akan terus mendapat dukungan dan hari ini, terbukti Airsia telah menjadi sebahagian daripada rakan strategik kita,” kata beliau selepas melancarkan Inisiatif Payung Rahmah Airasia Superapp di sini.

Inisiatif Payung Rahmah Airasia Superapp menawarkan promosi RM1 Airasia Ride, potongan RM50 tempahan harga hotel tempatan dan antarabangsa serta tempahan penerbangan dentinasi antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes, berkata inisiatif Payung Rahmah akan dilanjutkan jika mendapat permintaan menggalakkan.

Dalam pada itu, Datuk Seri Salahuddin berkata kerajaan tidak merancang untuk mewajibkan inisiatif Payung Rahmah kepada syarikat besar, bagaimanapun yakin inisiatif ini akan terus mendapat sokongan daripada pemain industri.

Sejak pelancaran Menu Rahmah, inisiatif ini telah dikembangkan kepada pelbagai pakej lain termasuk tekstil dan penjagaan kesihatan.

Inisiatif Jualan Rahmah juga telah meluputi 19 pasar raya besar dan pasar raya rangkaian, Pakej Rahmah mendapat sembilan rakan strategik, Bakul Rahmah dengan 75,842 bakul telah diedarkan manakala Menu Siswa Rahmah kini ditawarkan di 20 Universiti Awam dengan 290 pengusaha.

Loading...
Terkini