comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jualan pembuatan naik 11.8 peratus kepada RM159.2 bilion pada November 2022 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Nilai jualan sektor pembuatan meneruskan pertumbuhan dua digit dengan mencatatkan RM159.2 bilion pada November 2022, meningkat 11.8 peratus tahun ke tahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan yang berterusan itu dipacu terutamanya oleh subsektor peralatan elektrik dan elektronik (19.0 peratus), terutamanya dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal.

Pengembangan nilai jualan ini juga disumbangkan oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (15.0 peratus) yang didorong oleh industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.

“Sementara itu, nilai jualan dalam kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain meningkat kukuh sebanyak 10.2 peratus dirangsang oleh industri pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang lebih daripada dua pertiga atau 72.9 peratus daripada jumlah nilai jualan, kekal pada kadar yang stabil dengan pertumbuhan 13.6 peratus pada November 2022 berbanding 16.1 peratus pada Oktober 2022, sejajar dengan pertumbuhan eksport perdagangan luar negeri dan peningkatan harga.

Selain itu, katanya nilai jualan industri berorientasikan domestik bertambah baik kepada 7.1 peratus berbanding 4.7 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Beliau berkata nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport menyusut 1.9 peratus berbanding Oktober 2022 manakala industri berorientasikan domestik mencatatkan peningkatan sebanyak 6.2 peratus.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata jumlah pekerja sektor pembuatan adalah seramai 2.33 juta orang pada November 2022, naik 3.3 peratus berbanding tahun sebelumnya (November 2021: 2.25 juta orang).

“Peningkatan ini disumbangkan oleh subsektor peralatan elektrik dan elektronik (5.4 peratus); produk makanan, minuman dan tembakau (4.3 peratus) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (2.4 peratus),” katanya.

Mengenai gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan, Mohd Uzir berkata ia meningkat 4.7 peratus, berjumlah RM7.89 bilion dan nilai jualan per pekerja meningkat 8.2 peratus kepada RM68,380 berbanding bulan yang sama pada 2021 manakala purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,389.

Beliau berkata dari Januari 2022 hingga November 2022, nilai jualan sektor pembuatan melonjak 16.6 peratus kepada RM1.64 trilion berbanding tempoh yang sama pada 2021.

“Sementara itu, bilangan pekerja meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada 2.33 juta orang dengan gaji dan upah meningkat 5.2 peratus kepada RM86.0 bilion.

“Bagi tempoh tersebut, nilai jualan per pekerja merekodkan RM706,339 dengan pertumbuhan 12.8 peratus tahun ke tahun,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini