RAWANG: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), pembekal dan pengedarnya terus mengorak langkah ke hadapan apabila pengeluaran setakat tahun ini meningkat 32.95 peratus kepada 51,134 unit daripada 38,460 unit.
Jualan turut meningkat 33 peratus kepada 46,385 kenderaan daripada 34,865 kenderaan untuk dua bulan pertama 2023.
Pencapaian pengeluar kereta nasional itu disumbangkan oleh peningkatan kecekapan dalam aspek pengeluaran, kemudahan pembiayaan kepada pengedar PERODUA yang lebih baik serta komunikasi yang menyeluruh di dalam ekosistem dan juga pelanggan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata walaupun masih terdapat banyak lagi cabaran di dalam isu bekalan cip semikonduktor, peningkatan kos dan sebagainya, tetapi syarikat berjaya mencatatkan pertumbuhan dua angka di dalam pengeluaran dan jualan.
“Untuk itu, kami berterima kasih kepada rakan-rakan niaga kami atas komitmen mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, permintaan untuk kenderaan PERODUA masih kekal kukuh dan syarikat sedang mempertingkatkan lagi jumlah pengeluaran untuk memenuhi permintaan terbabit.
“Hasilnya, purata tempoh menunggu setakat 28 Februari kini adalah di antara 2.5 bulan dan lapan bulan. Semestinya, tempoh masa ini adalah tertakluk kepada model, varian dan warna.
“Oleh yang demikian, kami memohon maaf kepada pelanggan dan berterima kasih di atas kesabaran mereka. Kami akan cuba menambah baik lagi pengeluaran dan pendaftaran pada bulan-bulan yang akan datang,” katanya.
Zainal Abidin menambah, PERODUA akan terus meningkatkan operasi termasuk ekosistem serta masa penghantaran kepada pelanggan.
Katanya, unjuran industri automotif dan PERODUA diramalkan positif memandangkan keadaan ekonomi semasa adalah kekal stabil.
“Tumpuan semasa kini adalah kestabilan tenaga kerja, terutama sekali buat pembekal automotif untuk memastikan pengeluaran dapat dipertingkatkan lagi.
“Kami juga berharap penggubal dasar dapat terus berkomunikasi dengan ekosistem berhubung sebarang perubahan polisi masa hadapan yang mungkin memberi kesan kepada industri,” katanya. – BERITA HARIAN