KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan di Malaysia meningkat kepada 67,659 unit pada September 2022 berbanding 44,227 unit pada bulan sama tahun lalu, demikian menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
MAA berkata, jualan kenderaan penumpang melonjak hampir separuh kepada 60,060 unit pada September 2022 daripada 38,258 unit pada September 2021, manakala jualan kenderaan komersial naik kepada 7,599 unit daripada 5,969 unit.Bagi sembilan bulan pertama tahun ini, jualan turut tinggi kepada 516,798 unit berbanding 318,827 unit bagi tempoh sama tahun lalu.
Ia berkata, jumlah kenderaan penumpang naik kepada 459,090 unit berbanding 282,881 unit pada tempoh sama 2021 dan kenderaan komersial sebanyak 57,708 unit berbanding 35,946 unit tempoh sama 2021.
“Jumlah jualan sembilan bulan pertama 2022 adalah 62 peratus lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun 2021.”Jumlah keseluruhan industri (TIV) bulan dikaji adalah 0.1 peratus lebih tinggi daripada Ogos 2022 (iaitu pada 67,560 unit).
“Syarikat kereta akan terus cuba memenuhi tempahan yang tinggi diterima sebelum 30 Jun 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah MAA, jualan pada Oktober 2022 dijangka untuk kekal sama seperti tahap bulan September 2022.”Masalah bekalan dan cip pula masih berterusan dan akan menjejaskan beberapa pengeluaran,” katanya.
Dari segi jumlah pengeluaran, MAA berkata, sebanyak 69,389 kenderaan dikeluarkan pada September 2022 berbanding dengan 45,972 unit pada bulan yang sama tahun lalu.
Pengeluaran kenderaan penumpang, katanya, meningkat kepada 64,701 unit pada bulan dikaji berbanding 42,556 unit pada September tahun lalu manakala pengeluaran kenderaan komersial pada 4,688 unit daripada 3,416 unit sebelumnya. — BERITA HARIAN