KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan industri (TIV) dijangka melepasi sasaran 700,000 unit, berbaki bulan terakhir tahun ini dengan industri automotif tempatan bakal melabuh tirai 2022 dengan catatan angka jualan tertingginya dalam sejarah.
Bagi tempoh 11 bulan tahun ini, TIV direkodkan mencecah 642,306 unit, semakin hampir dengan unjuran setahun penuh paling cemerlang seperti diramalkan kebanyakan penganalisis.
Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Jim Lim Khai Xhiang, berkata pada jumlah lebih 642,000 unit, jumlah jualan keseluruhan industri automotif dilihat berkemungkinan menjangkaui angka 700,000 unit, paras tertinggi sejak 2015 iaitu sebanyak 666,674 unit.
“Kami menjangkakan jualan kenderaan kukuh pada Disember dan TIV 2022 berkemungkinan mencapai sasaran 700,000 unit atau melepasi angka berkenaan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Industri automotif tempatan sekali lagi merekodkan prestasi bulanan yang kukuh pada November.Pada angka 64,404 unit yang dicatatkan pada November, jualan pada bulan dikaji adalah 5.6 peratus lebih tinggi disokong lonjakan jualan kenderaan PERODUA (11 peratus) dan Toyota/Lexus (13 peratus).
“TIV bulanan kekal teguh disokong pesanan tertunggak selama berbulan-bulan sejak Jun 2022 dan isu rantaian bekalan yang mereda. Dengan kebolehlihatan bekalan lebih besar, eksekutif automotif menzahirkan keyakinan mereka untuk menyempurnakan pesanan yang dikecualikan daripada cukai jualan sebelum akhir Mac tahun depan.
“Bagi tempoh 11 bulan 2022, PERODUA menjual 251,000 unit, dan berada dalam landasan untuk melangkaui sasaran sebanyak 265,900 unit bagi setahun penuh 2022. Bagaimanapun, penyusutan bulan ke bulan sebanyak 12 peratus yang direkodkan PROTON memberikan kesan terhadap TIV sektor automotif apabila pengeluarannya turut mengalami penurunan 12 peratus dan kembali kepada paras biasa,” tambah Khai Xhiang.
Dengan angka 642,306 unit bagi tempoh Januari hingga November 2022, industri automotif negara hanya memerlukan 57,694 unit lagi untuk mencipta rekod baharu.Ia dilihat tidak mustahil memandangkan Disember adalah bulan yang sibuk untuk semua pengeluar bagi memenuhi tempahan tertunggak, di samping pelbagai kempen dan promosi akhir tahun dilaksanakan untuk menarik pembeli.
Untuk perbandingan, jualan pada Disember 2021 adalah berjumlah 65,184 unit.Dari aspek jumlah pengeluaran industri (TPV) pula, industri automotif kembali pulih 11 peratus bulan ke bulan, selepas susut 15 peratus pada Oktober.
Sebagai rumusan, TPV Oktober susut 15 peratus bulan ke bulan, dikekang oleh pengeluaran PERODUA yang lebih rendah akibat sesi penyelenggaraan kilang.
Bagaimanapun pada November, pengeluaran kenderaan PERODUA meningkat semula dan kilangnya dilihat beroperasi menghampiri kapasiti penuh semula.
Dengan kebanyakan isu kesesakan bekalan berjaya diselesaikan, RHB Investment Bank meramalkan TPV Disember kukuh.Khai Xhiang berkata, RHB Investment Bank mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor automotif berdasarkan gambaran berjaga-jaga, melainkan terdapat penghantaran yang kukuh pada masa terdekat.
“Kami berpandangan kebimbangan terhadap kelembapan pada 2023 mungkin menjejaskan sentimen terhadap sektor ini. Risiko negatif utama yang mungkin dihadapi seperti kekurangan komponen yang semakin teruk, nilai ringgit yang semakin lemah serta kekangan makroekonomi lebih buruk daripada jangkaan yang mungkin akan menurunkan jumlah pesanan,” katanya.
Berhubung prospek tahun depan, beliau berkata, RHB Investment Bank menetapkan anggaran TIV sebanyak 600,000 unit, berkurangan 14 peratus berbanding sasaran 700,000 unit tahun ini.
Katanya, unjuran lebih rendah itu dibuat berdasarkan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan pada 2023, selain tiada lagi pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
“Unjuran 600,000 unit kami sudah mengambil kira pencapaian suku pertama 2023 yang mungkin kukuh kerana syarikat mengejar untuk memenuhi pesanan tanpa SST sebelum hujung Mac 2023.
Sebagai ringkasan, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meramalkan TIV 2022 sebanyak 630,000 unit dan 2023 berjumlah 636,000 unit,” katanya.