Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan atau jumlah keseluruhan industri (TIV) tempatan mencatat rekod baharu apabila mencecah 816,747 tahun lalu.
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), TIV kenderaan penumpang melonjak kepada 747,180 ribu unit berbanding 719,145, mengimbangi penurunan jualan dalam kenderaan komersial dari 80,676 unit tahun 2023 ke 69,567 unit tahun lalu.
“Momentum dari segi segmen A termasuk kereta nasional yang sebenarnya telah menyumbang kepada angka yang sangat tinggi untuk TIV.” kata Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain.
Segmen A atau kereta subkompak menyumbang kepada peningkatan jenama nasional sehingga 62 peratus daripada TIV.
Bagi tahun ini pula, MAA mengunjurkan TIV 780,000 unit.
“Walapun lebih rendah berbanding 2024, jumlah ini dilihat tinggi kerana purata TIV semasa pra-pandemik adalah antara 600 hingga 700 ribu unit.”katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan pertimbang alternatif nilai pasaran terbuka atau OMV dalam menentukan kadar duti eksais.
Ia kerana harga kereta pemasangan tempatan CKD boleh meningkat sehingga 30 peratus jika dilaksanakan tahun depan.
“Ada alternatif lain, kalau nak implement P.U.A 402, saya rasa negara lain pun laksana hampir sama cuma perbezaannya negara terbabit mempunyai terma tarif yang berlainan. Justeru, ini harus dibawa ke meja perbincangan.” katanya.
Jelasnya, kenaikan harga kereta CKD akan menjejaskan permintaan dan memberi impak berantai kepada industri.
Ini termasuk pembekal komponen kenderaan dan pulangan kepada pelaburan dalam bilik pameran kenderaan terjejas.
Pada tahun 2020, Kementerian Kewangan memperkenalkan peraturan cukai eksais baharu, P.U.A 402 peraturan cukai eksais.
Ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2026 selepas ditunda tiga kali.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.