KUALA LUMPUR: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menaikkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tahun ini kepada 725,000 unit daripada 650,000 unjuran sebelum ini.
Menurut Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain, peningkatan ketara unjuran itu ekoran prestasi jualan kenderaan yang kukuh bagi separuh pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagi separuh pertama tahun ini, jualan kenderaan baharu meningkat 10.3% ke 366,037 unit berbanding 331,746 unit kenderaan dijual tempoh sama tahun lalu.
“Tahun ini, kami menyaksikan tempahan kekal tinggi dan ia akan berterusan bagi sepanjang tahun ini. Namun bagi beberapa tahun ini, unjuran kami bersandarkan prestasi jualan kereta nasional yang mendorong peningkatan ini ke angka yang lebih tinggi. Ia tidak bermakna kereta bukan nasional tidak berkembang hanya kereta nasional yang berkembang pesat.” katanya dalam satu sidang media MAA.
Unjuran lebih 700,000 kenderaan dijual setahun ini juga dilihat berterusan sehingga tahun 2027.
Jualan kereta nasional yang meningkat ke lebih 220,702 unit, menjadikan penguasaan pasaran kereta nasional dalam kenderaan penumpang sekitar 68%TIV bagi tempoh dikaji.
Sebaliknya, jualan kenderaan penumpang bukan nasional pula susut tiga peratus kepada 105, 959 unit.