comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jualan kenderaan dijangka kembali normal

KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan di Malaysia dijangka kembali ke paras normal dengan tempoh menunggu menjadi lebih singkat pada 2024 berbanding ketika ini.

Penganalisis RHB Investment Bank, Jim Lim Khai Xhiang, berkata berdasarkan unjuran data semasa, jualan kereta bakal kembali normal pada 2024 kerana jumlah pesanan ketika ini sudah pun kembali normal merentasi hampir semua jenama.

Beliau berkata, tiada lagi waktu menunggu untuk banyak model kereta selain untuk unit import serta permintaan untuk warna khusus selain tunggakan pesanan yang semakin reda.

Ketika ini, hanya Toyota, Perodua dan Honda katanya yang masih mempunyai waktu menunggu untuk semua model mereka.

“Jumlah keseluruhan industri (TIV) 2024 dijangka akan kembali normal menghampiri paras rendah 600,000 unit, apabila kurangnya pemangkin untuk menaikkan jumlah kepada hampir 700,000 unit.

“Penggunaan kenderaan elektrik (EV) dijangka bertambah, namun kami berpandangan ia tidak akan menaikkan TIV secara signifikan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Industri automotif Malaysia mencipta sejarah baharu dalam jualan apabila merekodkan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 720,658 unit pada 2022, manakala unjuran TIV pada 2023 adalah sebanyak 680,000 unit.

Prestasi 2023 yang kukuh telah diperhitungkan dalam harga kerana terdapat persetujuan am dalam pasaran bahawa 2023 akan mencatat prestasi kukuh, terutamanya bagi Toyota dan Perodua.

Pelabur juga dipercayai sedang berjaga-jaga terhadap kemungkinan jumlah pesanan akan menurun, kerana perkara ini mungkin menjadi penunjuk awal bagi penurunan perolehan pengeluar kereta.

“Oleh itu, pasaran mungkin akan mengambil kira prospek 2024 yang lebih lemah. Dengan jumlah pesanan yang kembali normal dan waktu menunggu semakin singkat, kami berpendapat sentimen pelabur terhadap saham syarikat automotif mungkin akan bertukar menjadi berjaga-jaga,” katanya

Loading...
Terkini