Tumpuan :
Detik Niaga

Jualan kenderaan bulan Mei melonjak kepada 68,665 unit

 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jumlah jualan kenderaan di Malaysia melonjak 18 peratus kepada 68,665 unit pada Mei 2024 berbanding 57,991 unit yang dicatatkan pada April 2024, demikian menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Mengikut perbandingan tahunan, jumlah keseluruhan industri (TIV) pada bulan lalu meningkat sembilan peratus berbanding Mei 2023 yang mencatatkan 63,158 unit.

Persatuan itu berkata, jualan yang dicatatkan pada Mei 2024 itu berikutan bulan bekerja lebih lama pada Mei 2024 dan prestasi mantap oleh pengeluar tempatan.

“TIV dari awal tahun hingga Mei 2024 adalah lapan peratus lebih tinggi kepada 328,901 unit berbanding 303,575 tempoh sama 2023,” kata MAA dalam satu kenyataan.

Pada Mei 2024, kenderaan penumpang mencatatkan jualan sebanyak 62,862 unit, meningkat 11 peratus berbanding 56,448 unit bulan sama pada 2023.

Jualan kenderaan komersial bagaimanapun merosot 14 peratus kepada 5,803 unit pada Mei 2024 berbanding 6,710 unit bulan sama 2023.

Dari segi pengeluaran kenderaan, perangkaan terkini MAA itu menunjukkan 74,174 unit kenderaan dikeluarkan pada Mei 2024, meningkat 14 peratus berbanding 64,930 unit pada bulan sama tahun lalu.

Pada bulan itu, pengeluaran kenderaan penumpang adalah sebanyak 70,132 unit, 16 peratus lebih tinggi berbanding 60,391 unit pada bulan sama tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini