KUALA LUMPUR: Malaysia telah menerima manfaat daripada perubahan dalam pelaburan hartanah komersial antarabangsa China yang telah beralih ke Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara lain, terutamanya, menurut satu laporan yang baru dikeluarkan oleh syarikat teknologi hartanah global, Juwai IQI.
Menurut laporan itu, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor muncul sebagai destinasi utama dalam kalangan pelabur China di Malaysia.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Kashif Ansari berkata Johor mempunyai ekonomi yang maju dan berhampiran dengan Singapura.
“Bersama dengan Singapura, Johor adalah sebahagian daripada kawasan metropolitan trans-nasional dengan kira-kira enam juta orang. Kami menjangkakan peningkatan pelaburan di Johor apabila Projek RTS Link Johor Bahru-Singapura ke Singapura hampir siap pada 2026.
“Juwai IQI meramalkan seramai 50,000 tambahan penduduk yang boleh menjalani gaya hidup secara rentas sempadan menjelang 2030 yang akan menawarkan peningkatan yang ketara dari segi permintaan terhadap hartanah komersial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kashif berkata rangkaian Singapura di Johor telah menjadi asas kepada banyak pelaburan China di negara ini dan pelaburan ini akan meningkat.
Menurutnya RTS Link akan membawa kepada lebih banyak limpahan pelaburan dari Singapura, menarik lebih ramai rakyat Singapura dan China untuk mencari pulangan lebih tinggi, gaya hidup serta kemampuan yang ditawarkan oleh Johor.
“Destinasi paling popular seterusnya untuk pelabur hartanah komersial China adalah Kuala Lumpur dan Selangor, iaitu hab bandar dan perniagaan terbesar Malaysia,
“Malaysia kali pertama menjadi lima destinasi utama dalam kalangan pelabur komersial China pada 2022. Mencapai kedudukan ketiga seperti tahun ini tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Pada masa depan, kami tidak percaya bahawa ketidaktentuan ekonomi global akan menghalang Malaysia daripada mencapai pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 4.7 peratus pada 2023,” katanya.