Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang melibatkan 16 sektor ekonomi strategik dijangka memberi manfaat besar kepada rakyat dan ekonomi negara.
Pengarah Program MBA, Putra Business School, Prof. Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kawasan itu mampu menarik pelaburan baharu dalam sektor ekonomi digital dan logistik, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantau ASEAN.
“Kelebihan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura ialah ia merangkumi pelbagai industri secara komprehensif, mempunyai sasaran khusus, dan melibatkan kerjasama dua negara yang kukuh dari segi menarik pelaburan luar,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.
Beliau menambah, zon ekonomi itu boleh dijadikan model kerjasama untuk negara ASEAN lain, dengan syarat pentadbiran negara yang terlibat stabil dari segi politik dan memiliki dasar ekonomi yang jelas.
Selain itu, sasaran zon ekonomi itu untuk menarik 100 projek dalam tempoh 10 tahun dilihat sebagai langkah signifikan ke arah memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan serantau.
Pada masa sama, OCBC Bank (Malaysia) Bhd pula melihat JS-SEZ berpotensi menjadikan Johor pintu masuk utama ke ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Chor Sen, menyatakan bahawa pihaknya berharap dapat menarik pelaburan antarabangsa melalui inisiatif yang dirancang.
Antara usaha yang dijalankan termasuk memperkenal kaedah baharu untuk mempercepat proses imigresen dan kastam, memperkukuh pendidikan teknikal dan latihan vokasional, serta menyediakan fasiliti pelaburan melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.