comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jepun sedia tawar kepakaran kepada Malaysia majukan teknologi AI

Pengarah IBM Research Tokyo, Dr Takeshi Fukuda ketika memberi taklimat kepada pengamal media mengenai hasil penyelidikan dan kepakaran yang dimiliki berkaitan teknologi AI dan pengkomputeran di Jepun.

Oleh: Suzila Idayu Yaacob

TOKYO: IBM Research Tokyo, sebuah pusat penyelidikan yang menerajui teknologi digital, pengkomputeran dan perisian sistem, bersedia menawarkan kepakaran dan memberi panduan kepada Malaysia dalam mengadaptasi industri kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).

Menurut Pengarah IBM Research Tokyo, Dr.Takeshi Fukuda, pihaknya juga komited untuk menjalinkan hubungan kerjasama sama ada menerusi sektor pendidikan, pemindahan dan perkongsian tenaga mahir berkaitan AI yang diyakini mampu membawa Malaysia ke tahap yang lebih maju.

“Kami boleh menawarkan panduan dan berkongsi kepakaran yang kami miliki dengan Malaysia termasuk memberi pendidikan melalui kerjasama antara universiti kedua-dua buah negara, Saya fikir kolaborasi ini amat penting dan berkesan supaya Malaysia dapat memangkin penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI)”, katanya kepada Buletin TV3 pada IBM ASEAN Press Tour 2024: AI & Quantum Computing di Makmal Shin-Kawasaki, Tokyo, Jepun baru-baru ini.

IBM Research telah melancarkan AI Alliance yang menghimpunkan komuniti antarabangsa untuk membincangkan pelbagai perkara membabitkan kemudahan dan penerimaan penggunaan AI secara terbuka.

Sehingga kini, ia menerima pembabitan lebih 50 syarikat dari serata dunia yang berhasrat memajukan dan meningkatkan produktiviti perniagaan masing-masing melalui AI.

“Kami telah membuat penyelidikan terhadap penggunaan AI dan kemajuan tersebut terbukti berkesan dalam memberi kesan positif terhadap perniagaan di pelbagai sektor.

“Justeru, kami ingin menjadikan AI lebih terbuka dan berharap semua negara terutama dalam kalangan negara Asean dapat menambahbaik penggunaan AI. Setakat ini, negara seperti Thailand, Singapura dan Vietnam sentiasa berhubung dan mengambil bahagian dalam setiap perkongsian kepakaran yang kami jalankan. Kami amat berbesar hati dan mengalu-alukan sekiranya Malaysia ingin mendapatkan bantuan dari Jepun,” katanya.

Tambah Takeshi, pihaknya juga sedia maklum dengan kesungguhan kerajaan Malaysia untuk beralih dan mentransformasikan negara kepada AI.

Ujar beliau, langkah itu amat tepat sekiranya Malaysia tidak mahu ketinggalan memandangkan banyak negara lain sudah mula menggunakan kepakaran serta kepesatan AI.

“Saya sedia maklum bahawa Malaysia telah banyak melabur dalam bidang teknologi dan Malaysia mempunyai potensi untuk maju dalam bidang tersebut seperti negara-negara lain. Tindakan itu adalah tepat dan kami yakin Malaysia mampu melakukannya”.

Pada awal Jun, wakil pengamal media dari Malaysia, Thailand, Filipina, Singpura dan Indonesia dijemput untuk membuat lawatan di makmal pembuatan serta penciptaan cip dan teknologi berkaitan AI dan perisian sistem komputer di Tokyo.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini