comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

JCorp catat untung luar biasa RM808 juta

KUALA LUMPUR: Johor Corporation (JCorp) meneruskan prestasi kewangan kukuhnya apabila mencatat lonjakan lebih 100 peratus keuntungan bersih kepada RM808 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berbanding RM379 juta tahun sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, berkata prestasi kewangan luar biasanya itu dicapai berikutan peningkatan 12 peratus dalam pendapatan kumpulan kepada RM5.7 bilion.

“Keputusan kewangan kumpulan yang mantap itu disokong oleh prestasi kukuh yang direkodkan di seluruh segmen perniagaannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JCorp adalah syarikat induk kepada Kulim (Malaysia) Bhd, KPJ Healthcare Bhd, QSR Brands (M) Holdings Bhd dan Johor Land Bhd.

Syed Mohamed berkata, pendapatan segmen pertanian mencecah RM1.85 bilion, naik 13 peratus berbanding tahun sebelumnya disebabkan peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK).

Segmen kesejahteraan dan penjagaan kesihatan kumpulan juga, katanya mengalami pertumbuhan sebanyak 13 peratus.

Ini katanya berdasarkan kepada peningkatan ketara dalam aktiviti pesakit dalam dan pesakit luar, yang masing-masing meningkat sebanyak 50 peratus dan 19 peratus selain sumbangan daripada pemulihan pelancongan perubatan.

“Segmen hartanah dan infrastruktur turut menunjukkan daya tahan yang luar biasa, mengukuhkan potensi pertumbuhannya melalui penjualan tanah perindustrian dan hartanah kediaman,” katanya.

Loading...
Terkini