comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

JCORP berjaya tetapkan harga program IMTN sulungnya pada RM1.5 bilion

KUALA LUMPUR: Johor Corporation (JCorp) telah berjaya menetapkan harga RM1.5 bilion bagi penawaran Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) sehingga RM2 bilion dalam nilai nominal berdasarkan prinsip syariah Wakalah Bi Al-Istithmar yang dijamin oleh Kerajaan Negeri Johor.

JCorp dalam satu kenyataan hari ini berkata terbitan itu telah mendapat minat menggalakkan daripada pelabur berpendapatan tetap dengan nisbah bidaan kepada penutup hampir lima kali ganda.

Permintaan pelabur yang baik telah membawa kepada peningkatan saiz terbitan daripada RM1.3 bilion sebelum ini kepada RM1.5 bilion dengan pengetatan harga sebanyak 15 mata asas (bps) merentasi penawaran sukuk tujuh tahun, 10 tahun serta 15 tahun dengan kadar keuntungan masing-masing sebanyak 4.45 peratus, 4.54 peratus dan 4.80 peratus.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata mengambil kesempatan daripada kejayaan pelaksanaan “Pelan Reinvention JCorp 3.0” dan keputusan kewangan tahun kewangan 2022 yang mantap, terbitan Sukuk Wakalah ini langkah penting dalam penstrukturan semula kewangan JCorp selain, usaha penciptaan nilai yang lebih besar.

“Sejajar dengan aspirasi kami ke arah JCorp yang bersedia untuk masa depan, ini adalah sebahagian daripada komitmen syarikat dalam merebut peluang yang akan memberikan kelebihan kerana kami membayangkan JCorp yang berdaya tahan, tangkas dan dipacu nilai secara mampan.

“Pengukuhan kewangan ini memberikan kami alat diperlukan untuk meningkatkan perniagaan kami dan menjamin trajektori pertumbuhan yang kukuh,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini