PUTRAJAYA: Bilangan kekosongan jawatan diiklankan dalam talian pada suku keempat 2023 meningkat 32.5 peratus dengan 448,181 kekosongan berbanding 338,305 kekosongan pada suku ketiga 2023, demikian perangkaan terkini dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pada suku itu, terdapat sebanyak 85,814 pertubuhan yang menawarkan kekosongan jawatan berbanding 77,499 pertubuhan yang direkodkan pada suku ketiga 2023.
Beliau berkata, berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, bilangan kekosongan jawatan mencatatkan pertumbuhan tiga angka iaitu 119.2 peratus berbanding 77.9 peratus pada suku ketiga 2023.
“Pada bulanan suku keempat 2023, kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian yang tertinggi adalah pada Disember 2023 iaitu sebanyak 172,777 kekosongan.
Sementara itu, terdapat 137,449 dan 137,955 kekosongan pada Oktober dan November 2023,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Perangkawan berkata, bagi kekosongan jawatan diiklankan dalam talian berdasarkan kategori pekerjaan, hampir separuh daripada kekosongan jawatan tertumpu dalam bidang profesional dengan 48.9 peratus atau 218,947 kekosongan pada suku keempat 2023.
Beliau berkata, ia kemudian diikuti 18.5 peratus (82,950) bagi kategori pengurus manakala juruteknik dan profesional bersekutu menyumbang 17.0 peratus (76,284).
Bagi kekosongan jawatan mengikut sektor ekonomi, kebanyakan kekosongan jawatan pada suku keempat 2023 adalah dalam sektor perkhidmatan dengan 50.9 peratus atau 228,148 kekosongan.
Melihat kepada kekosongan jawatan mengikut aktiviti ekonomi, perdagangan borong dan runcit mendominasi kekosongan dengan 15.9 peratus atau 71,154 pekerjaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa