
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan sesi dagangan Rabu dengan lebih tinggi, didorong oleh data inflasi Amerika Syarikat (AS) bagi Oktober yang membayangkan kemungkinan kempen bank pusat negara maju itu untuk menaikkan kadar faedah telah berakhir.
Perkembangan itu sekali gus mencetuskan harapan bahawa ini akan disusuli dengan langkah Rizab Persekutuan AS (Fed) mengurangkan kadar faedah berkenaan.
Pada 9.10 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meraih 8.34 mata kepada 1,460.06 dengan peningkatan tersebut turut merentasi hampir kesemua papan indeks.
Indeks penanda aras itu dibuka menokok 1.89 mata kepada 1,453.61 berbanding 1,451.72 pada akhir dagangan Selasa.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 292 berbanding 102 manakala 273 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,713 tidak diniagakan dan sembilan lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 536.83 juta unit bernilai RM136.6 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata prestasi itu mencerminkan aliran kenaikan berturut-turut di Wall Street ketika peniaga amat gembira dengan data IHP bagi Oktober yang lebih rendah daripada jangkaan pada 3.2 peratus.
“IHP teras yang tidak termasuk harga makanan dan tenaga, meningkat pada paras paling perlahan dalam tempoh dua tahun dan memaparkan bahawa kadar Fed telah pun mencecah kemuncaknya.
“Berikutan itu, Dow Jones meningkat 1.43 peratus manakala Nasdaq menokok 2.37 peratus berikutan hasil Perbendaharaan 10 tahun AS yang turun kepada 4.453 peratus,” katanya kepada Bernama.
Sejajar dengan sentimen optimis di AS, beliau menjangkakan FBM KLCI akan terus mengekalkan momentum positif dan bergerak dalam aliran di paras 1,455-1,465 pada hari ini.