Tumpuan :
Detik Niaga

Jamie Ling dilantik Sebagai Ceo Kumpulan AMMB Holdings dan Ambank

KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd melantik Jamie Ling sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) serta menjadi CEO AmBank (M) Bhd bagi menggantikan Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkuat kuasa 23 Nov, 2023.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin, AMMB Holdings menjelaskan Ling berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan dari 2017, dengan beliau menguruskan spektrum penuh kewangan Ambank Group, menyelia strategi dan pelaksanaan kewangan kumpulan.

“Lembaga pengarah yakin dengan pengalaman Ling yang luas dalam industri perbankan ditambah dengan kemahiran kepimpinan dan visinya yang jelas, akan mengukuhkan lagi kedudukan AmBank dalam industri dan melonjakkan bank ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Menurut kenyataan bank itu, pengalaman komersial dan kewangan Ling yang mendalam meliputi peranan penting yang dipegang dalam perbendaharaan, kewangan, pengurusan risiko dan jualan di institusi perbankan antarabangsa.

Portfolio kerjaya beliau yang komprehensif merentas perbankan korporat, pelaburan dan runcit, perbendaharaan, pengurusan risiko dan pengurusan kewangan.

Dalam kenyataan berasingan, AMMB Holdings turut mengumumkan persaraan Sulaiman sebagai GCEO serta sebagai CEO AmBank (M) Bhd pada 22 Nov, 2023 selepas mencapai umur persaraan syarikat 60 tahun pada Januari tahun ini.

Pengerusi AMMB Holdings, Tan Sri Md Nor Yusof berkata beliau bertuah mengenali Sulaiman sejak memulakan kerjaya perbankan di Bank of Commerce pada 1987.

“Saya boleh membuktikan pengalamannya yang luas selama lebih 35 tahun berkesudahan dalam meneraju AmBank Group.

“Ini sudah tentu nilai penting yang akan dibawa beliau ke mana sahaja apabila beliau memutuskan untuk menawarkan perkhidmatan seterusnya,” katanya.

Sulaiman menerajui kumpulan perbankan itu selama lapan tahun dan sepanjang tempoh perkhidmatannya di kumpulan itu beliau cekap mengemudi syarikat mengharungi beberapa cabaran yang paling sukar, menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Loading...
Terkini