KUALA LUMPUR: Saham Cypark Resources Bhd meningkat 1.92 peratus dalam sesi dagangan awal hari ini susulan berita bahawa Jakel Group dijangka muncul sebagai pemegang saham tunggal terbesar syarikat itu.
Pada 10.20 pagi, saham syarikat tenaga boleh diperbaharui itu menokok satu sen kepada 53 sen, dengan 41.71 juta saham diniagakan.
Memetik satu sumber pasaran, satu laporan berita berkata bahawa Jakel Capital, unit pelaburan Jaket akan membeli keseluruhan blok penempatan persendirian Cypark, membabitkan 30 peratus daripada jumlah saham terbitan keseluruhan.
Sementara itu, satu lagi sumber berkata Jakel Group hanya akan melanggan separuh daripada saham penempatan persendirian itu, mewakili 15 peratus daripada kepentingan syarikat, manakala baki separuh blok akan diambil oleh satu lagi pihak. – BERNAMA