comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jaguar lancar SUV pertama di Malaysia

PETALING JAYA: Jaguar Land Rover Malaysia hari ini melancarkan Jaguar I-PACE secara rasmi, kenderaan utiliti premium sport (SUV) elektrik pertama sepenuhnya dari Jaguar di pasaran kenderaan elektrik (EV) Malaysia.

Jaguar I-PACE serba baharu boleh didapati dalam dua pilihan, pada harga daripada RM460,800 bagi Hitam LE dan RM498,800 bagi HSE, dengan tempoh waranti komprehensif selama lima tahun atau 150,000 kilometer, yang mana lebih awal, dan khidmat bantuan tepi jalan tiga tahun.

 

Ia juga termasuk servis percuma sehingga lima tahun atau 102,000 kilometer serta waranti Bateri EV sehingga lapan tahun atau 160,000 kilometer, yang mana lebih awal.

Jaguar Land Rover Malaysia juga memberikan kredit percuma RM1,000 dalam aplikasi DC GoToU bagi tempahan yang diterima dalam tempoh pelancaran sehingga 28 Mei 2023, yang membolehkan pengguna meninjau lokasi pengecasan dengan mudah sepanjang perjalanan.

Tempahan bagi SUV prestasi tinggi elektrik sepenuhnya ini boleh dibuat di bilik pameran Jaguar di Ara Damansara dan Pulau Pinang.

Pengarah Urusan Sime Darby Motors, Asia Tenggara, Hong Kong & Macau, Jeffrey Gan, berkata Sime Darby Motors berbesar hati untuk terus menyokong usaha Malaysia ke arah mencapai pengangkutan rendah karbon dengan meluaskan portfolio EV.

“Jaguar I-PACE menandakan satu mercu jaya baharu dalam perjalanan meneroka elektrifikasi Sime Darby Motors, sebagai sebahagian daripada strategi kami untuk merintis jalan bagi masa depan dayapergerakan automotif dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai pemimpin EV.

“Jaguar I-PACE adalah inovasi tersendiri dan kami yakin bahawa SUV premium bertaraf dunia ini akan mendapat sambutan yang memberangsangkan di pasaran seiring peralihan rakyat Malaysia kepada EV,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Jaguar Land Rover Malaysia, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, berkata Jaguar I-PACE, yang sedia untuk memenuhi permintaan semakin bertambah bagi EV di Malaysia, adalah sebuah kenderaan serba maju yang mentakrifkan semula segmen SUV EV.
“Kuasa dan dinamiknya menjamin prestasi terulung dan kami menggalakkan pelanggan untuk mendaftar serta mencuba sendiri pengalaman pemanduan luar biasa kereta ini,” katanya.

Dengan inisiatif kerajaan untuk menggalakkan penggunaan EV dan mencapai pengangkutan rendah karbon, rakyat Malaysia juga boleh mengambil kesempatan dengan memiliki Jaguar I-PACE pada harga yang lebih berpatutan menerusi konsesi bebas cukai kerajaan bagi EV CBU. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini