Oleh Juliana Pija Ismail
KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Radium Development Bhd menyasarkan untuk menjana RM434 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) bagi penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 31 Mei ini.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Gary Gan, daripada jumlah itu, RM171 juta akan digunakan untuk pembelian tanah dan pembangunan projek di Kuala Lumpur.
“Sebagai permulaan, syarikat telah memeterai perjanjian usaha sama untuk melancarkan pembangunan di Mukim Batu pada separuh pertama 2024.Kami juga menyenarai pendek tiga bidang tanah di Mukim Petaling untuk dibeli dan/atau dibangunkan bersama. Simpanan tanah masa depan ini menggariskan komitmen kami sebagai pemaju hartanah yang berpusat di Kuala Lumpur, yang memberi tumpuan kepada perumahan mampu milik” katanya ketika majlis pelancaran prospektus IPO Radium Development.
Katanya, Radium Development tidak mempunyai perancangan untuk berkembang di luar Kuala Lumpur dalam tempoh lima tahun ini.
Selain itu, pemaju hartanah itu juga akan membangunkan projek baharu tahun ini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM1.5 bilion.
Menerusi IPO itu, Radium Development akan menerbitkan 868 juta saham baharu, mewakili 25 peratus daripada modal saham syarikat yang diperbesarkan.
Daripada 868 juta saham baharu, 273 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian dan 60 juta saham kepada pengurusan kanan utama, pekerja kumpulan dan rakan perniagaan yang layak termasuk mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Sebanyak 435 juta saham lagi akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan baki 100 juta saham untuk pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.
Sehingga kini, Radium Development berjaya menyiapkan projek dengan jumlah GDV sebanyak RM2.1 bilion.
Radium Development juga menguasai 10 peratus bahagian pasaran hartanah kediaman bertingkat tinggi di Kuala Lumpur dari segi pendapatan pada 2021 dan tujuh peratus daripada pasaran yang sama berdasarkan bilangan unit.