
KUALA LUMPUR: Tiga sektor iaitu perbankan, institusi kewangan bukan bank (NBFI) dan pengangkutan mencatatkan prestasi kewangan melebihi jangkaan pada musim pelaporan kewangan suku terakhir 2022 dari Oktober hingga Disember.
Penganalisis RHB Investment Bank, Alexander Chia, berkata enam sektor iaitu automotif, media, penjagaan kesihatan, utiliti, produk getah dan bahan asas sebaliknya dilihat memaparkan prestasi menghampakan dalam suku yang sama.
“Sektor bermodal besar lain menepati jangkaan yang ditetapkan.
Sektor-sektor yang amat bergantung pada pekerja asing pula melaporkan kekangan yang semakin reda dengan keputusan sektor perladangan dan pembinaan mencapai anggaran yang dibuat,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Chia berkata, musim pelaporan pada suku berakhir Disember kali ini menyaksikan 45.2 peratus keputusan berjaya mencapai jangkaan yang ditetapkan.
Walaupun begitu, beliau menegaskan bahawa gambaran berjaga-jaga pihak pengurusan telah menunjukkan tanda-tanda apabila terdapat penurunan dalam perolehan bersih bagi tahun kewangan 2023.
Katanya, sama seperti suku-suku yang sebelumnya, kenaikan kos memberi kesan yang nyata pada margin dan pendapatan bersih.
“Keadaan operasi secara meluas mungkin akan semakin merosot sebelum kembali mencatat pemulihan, dan hal ini menandakan pasaran tidak menentu pada suku-suku mendatang.
“Susulan penurunan perolehan itu, kami rendahkan sasaran FBM KLCI untuk akhir 2023 dengan sewajarnya kepada 1,590 mata, daripada 1,660 mata,” katanya.
Mengenai strategi pelaburan, Chia berkata RHB Investment Bank masih menjangkakan kitaran pengetatan monetari yang matang, inflasi Amerika Syarikat (AS) meninggi, ekonomi AS yang bertahan, pasaran China yang bangkit semula dan risiko politik tempatan berkurangan sebagai faktor-faktor penggalak untuk pasaran saham.
Beliau berkata, risiko dasar yang semakin reda kini juga termasuk dalam faktor-faktor positif ini, kerana kebimbangan mengenai cukai baharu tidak timbul dalam Belanjawan 2023 yang telah dibentangkan semula.
“Walaupun pasaran saham bakal dilanda oleh ketidaktentuan korporat dan makroekonomi yang lebih perlahan, kelemahan pasaran patut dilihat sebagai peluang untuk menggunakan simpanan tunai secara berperingkat bagi menambah kedudukan ekuiti untuk jangka sederhana.
“Asas-asas yang kukuh adalah pertimbangan utama untuk pelaburan, dan kami kekalkan keutamaan terhadap saham bermodal besar,” katanya.
RHB Investment Bank meletakkan saranan ‘wajaran tinggi’ diberikan antara lain terhadap sektor perbankan, minyak dan gas (O&G), bahan asas, NBFI, penjagaan kesihatan, automotif, dan hartanah. – BERITA HARIAN