KUALA LUMPUR: Perbankan Islam perlu memanfaatkan pembangunan digital berteraskan teknologi kewangan (Fintech) Islam secara menyeluruh. Ini kerana masih terdapat bank yang belum mencapai potensi fintech Islam dalam sistem perbankan masing-masing.
Pakar Syariah, Tan Sri Mohd Daud Bakar berkata, peralihan itu penting bagi memastikan institusi kewangan Islam dapat mengurangkan kos, memperkemas proses berkaitan serta mempertingkat ketelusan agar lebih berdaya tahan.
“Ini adalah keadaan di mana bank di Malaysia perlu kepada pendigitalan dan mula berhubung dengan sistem teknologi pintar. Selepas itu saya dapat membayangkan pada beberapa tahun akan datang, pegawai bank boleh membuat urusan perbankan tanpa berat sebelah. Sistem perbankan ini juga boleh beroperasi pada setiap waktu,” katanya selepas menerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022 yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Menurut beliau, ketika ini banyak syarikat memilih institusi kewangan Islam bagi mendapatkan sokongan kewangan. Ini bermakna, penyelesaian teknologi perlu dibuat ke arah memperluas perkhidmatan kewangan yang lebih efisien.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata, peningkatan teknologi dan penggunaan digital telah membentuk semula sikap pelabur dan akses kepada maklumat. Justeru adalah penting untuk mengasimilasikan inovasi dengan pengetahuan dan amalan Syariah sedia ada dalam usaha untuk mengembangkan kewangan Islam.
Ini akan membolehkan industri melaksanakan penambahbaikan penyelesaian Islam untuk manfaat masyarakat, ummah dan masyarakat global.