Tumpuan :
Detik Niaga

Industri zahir penghargaan kepada Nor Shamsiah

Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus – Foto : NSTP

KUALA LUMPUR: Persatuan Perbankan dan Institusi Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menzahirkan penghargaan kepada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus di atas kepimpinan luar biasa, pencapaian mengagumkan dan sumbangan besar kepada industri perbankan sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).

AIBIM turut mengalu-alukan Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour di atas pelantikannya sebagai Gabenor baharu BNM.

Persatuan itu dalam satu kenyataan berkata, ia menzahirkan penghargaan kepada Nor Shamsiah di atas sumbangan bermaknanya kepada industri dan mengharungi tempoh sukar.

“Di bawah kepimpinannya, AIBIM telah menyaksikan pertumbuhan dan pembangunan berterusan institusi perbankan Islam, membolehkan mereka memainkan peranan penting dalam memajukan ekonomi negara ini.

“Tidak boleh diragui bahawa Datuk Shaik Abdul Rasheed, Gabenor baharu BNM, membawa bersamanya pengetahuan dan pengalaman luas dalam industri kewangan. AIBIM dan seluruh industri perbankan Islam mengalu-alukan pelantikannya dengan semangat dan kesungguhan yang tinggi,” kata AIBIM.

Ia berkata, Abdul Rasheed amat bersedia untuk memimpin BNM ke era baharu pembangunan dan daya tahan, berikutan pemahaman mendalamnya terhadap dinamik industri dan landskap kewangan yang sedang berubah.

“Kami amat berterima kasih kepada Tan Sri Nor Shamsiah di atas perkhidmatan cemerlangnya dan mengalu-alukan Datuk Shaik Abdul Rasheed sebagai Gabenor baharu BNM.

“Kami teruja untuk memulakan babak baharu ini bersama-sama dan bersedia untuk mencatatkan pencapaian lebih hebat dalam sektor perbankan Islam,” kata Presiden AIBIM, Mohd Muazzam Mohamed.

Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelantikan Abdul Rasheed sebagai Gabenor BNM untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2028.

Beliau akan mengambil alih jawatan Gabenor daripada Nor Shamsiah, yang menyempurnakan tempoh lima tahunnya pada 30 Jun 2023.

Loading...
Terkini