GENEVA: Industri penerbangan global diunjur memperkukuh keuntungan pada 2025 dengan keuntungan bersih US$36.6 bilion (RM161.8 bilion), menyumbang margin keuntungan bersih 3.6 peratus, di tengah-tengah gangguan kos dan rantaian bekalan yang berterusan, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Jumlah pendapatan industri pula dijangka mencecah US$1.01 trilion (RM4.46 trilion), peningkatan 4.4 peratus berbanding 2024 sekali gus merupakan kali pertama pendapatan industri melepasi angka US$1 trilion (RM4.42 trilion).
Pengarah Urusan IATA Willie Walsh berkata penambahbaikan ini memerlukan usaha keras memandangkan syarikat penerbangan memanfaatkan harga minyak yang lebih rendah, dan pada masa sama memastikan faktor muatan melebihi 83 peratus, mengawal kos dengan teliti serta melabur dalam penyahkarbonan.
“Semua usaha ini akan membantu meringankan beberapa cabaran untuk meraih keuntungan, dalam aspek yang tidak dapat dikawal oleh syarikat penerbangan seperti gangguan berterusan dalam rantaian bekalan, kekurangan infrastruktur, pengawalseliaan yang menyukarkan dan peningkatan beban cukai,” katanya pada Hari Media Global IATA di sini.
Keuntungan operasi dijangka berjumlah US$67.5 bilion (RM298.35 bilion) dengan margin operasi bersih sebanyak 6.7 peratus, meningkat daripada 6.4 peratus yang dijangka pada 2024.
Pulangan ke atas modal yang dilaburkan (ROIC) dalam industri global dijangka mencapai 6.8 peratus pada 2025 daripada 6.6 peratus pada 2024, dengan ROIC tertinggi dijangka terhadap syarikat penerbangan di Eropah, Timur Tengah dan Amerika Latin.
Menurut IATA seluruh rantau dijangka menunjukkan prestasi kewangan lebih baik dan menghasilkan keuntungan bersih kolektif pada 2025 berbanding 2024.
Keuntungan bersih Asia Pasifik pada 2025 diunjurkan berjumlah US$3.6 bilion (RM15.91 bilion), mewakili margin keuntungan bersih sebanyak 1.4 peratus, katanya.
IATA berkata Asia Pasifik adalah pasaran terbesar dari segi hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) dengan China menyumbang lebih 40 peratus daripada trafik rantau ini.
Pada 2024, RPK meningkat 18.6 peratus, sebahagiannya didorong oleh rangsangan pasaran susulan kelonggaran syarat visa bagi kemasukan ke beberapa negara termasuk China, Vietnam, Malaysia dan Thailand.
“Syarikat penerbangan China mencatat kerugian bersih pada separuh pertama 2024 akibat isu rantaian bekalan, lebihan bekalan dalam pasaran domestik dan langkah mengehadkan kepada 100 kekerapan mingguan dari China ke Amerika Syarikat.
“Asia Pasifik turut mengalami penurunan hasil yang ketara pada 2024 berikutan permintaan yang kukuh dan pertambahan faktor muatan. Peningkatan kecil keuntungan dijangkakan pada 2025,” kata IATA.
Dalam jangka panjang, trafik Antarabangsa Asia Pasifik dilihat meningkat 5.6 peratus secara purata pada 2023-2043, di belakang ASEAN iaitu 6.1 peratus.
Pada tahun depan, trafik penumpang global diunjur menokok 6.2 peratus melebihi paras lima bilion untuk kali pertama kepada 5.2 bilion. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.