comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Industri sawit Malaysia amal teknik pembakaran sifar

Foto hiasan

BANGI: Malaysia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia mengamalkan teknik pembakaran sifar dan telah mengenakan larangan ke atas pembakaran terbuka pada 1998 seperti mana ditetapkan di bawah Amalan Pertanian Baik (GAP) dan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata Malaysia telah lama dikaitkan dengan penebangan hutan hujan tropika dan pembakaran tanah gambut dan menyebabkan pencemaran udara sedangkan pembakaran hutan tropika adalah dilarang dan bertentangan dengan undang-undang Malaysia.

“Pengawalseliaan paras air tinggi antara 40 hingga 60 sentimeter adalah antara elemen utama dalam MSPO dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) untuk mengawal kebakaran hutan. Pengurusan yang baik dilaksanakan bagi mengurangkan kesan penanaman sawit di kawasan gambut di Malaysia. Peraturan paras air adalah kritikal dan sedang dilaksanakan di kawasan tanah gambut yang ditanam dengan pokok sawit,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut MPOB, Malaysia telah menerima pakai beberapa dasar utama termasuk melarang penanaman baharu sawit di kawasan tanah gambut dan mengukuhkan peraturan mengenai penanaman sawit sedia ada di tanah gambut. Dasar itu juga menyaksikan pengehadan jumlah kawasan penanaman sawit kepada 6.5 juta hektar bagi memastikan penanaman sawit mampan.

Ahmad Parveez berkata, langkah juga sedang dilaksanakan untuk meningkatkan pengurusan mampan landskap pengeluaran di tanah gambut melalui penetapan sasaran untuk pensijilan mandatori semua ladang dan pengeluaran pekebun kecil di atas tanah gambut (dan tanah lain) di bawah MSPO mulai 1 Januari 2020. Katanya, skim MSPO juga menggariskan langkah untuk meningkatkan kemampanan sektor komoditi dan pengurusan hutan.

“Kajian telah dijalankan ke atas tanah gambut di Malaysia khususnya untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan sistem pengurusan mampan di tanah gambut adalah disyorkan. Pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan Tanah Gambut dan strategi, dasar dan pelan tindakan berkaitan diharap mengurangkan pelepasan GHG yang berkaitan dengan saliran dan pembakaran hutan tanah gambut serta menambah baik pengurusan sistem perladangan dan pertanian dalam landskap yang disasarkan” katanya.

Malaysia turut melaksanakan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (2016-2025) sejajar dengan Sasaran Biodiversiti Aichi 2020. Malaysia komited untuk memasukkan elemen Rangka Kerja Biodiversiti Global Pasca-2020 (Pasca-2020 GBF) ke dalam dasar biodiversiti kebangsaan sedia ada. GBF Pasca-2020, yang menyenaraikan matlamat, sasaran dan petunjuk yang akan menggantikan Sasaran Biodiversiti Aichi 2020 yang berakhir pada 2020.

Negara ini juga komited dalam menggalakkan pemuliharaan dan peningkatan stok karbon dalam hutan dan penggunaan tanah lain, dan menyokong pertanian pintar iklim. Industri sawit Malaysia melaksanakan inisiatif pemuliharaan hutan dan menambah baik amalan perladangan.

Menurut MPOB, syarikat perladangan sawit utama termasuk Sime Darby, IOI Group, dan Wilmar telah menyumbang dana untuk pemuliharaan alam semula jadi dan perlindungan spesies. Ladang itu juga mewujudkan kawasan bernilai konservasi tinggi (HCV) dalam ladang untuk tujuan pemuliharaan biodiversiti. Sebagai contoh, Ladang Sime Darby telah memperuntukkan 5,779 hektar kawasan HCV untuk perlindungan biodiversiti.

Loading...
Terkini