Tumpuan :
Detik Niaga

Industri minyak sawit Malaysia sedia teroka peluang di pasaran ASEAN

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Industri minyak sawit Malaysia bersedia untuk memanfaatkan peluang besar ditawarkan Filipina, Vietnam dan Myanmar selepas sesi perdagangan dan rangkaian dua hari yang dihoskan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) minggu ini.

Acara yang berlangsung pada 20-21 Jun itu menghimpunkan perwakilan dari tiga negara berkenaan dan ahli industri minyak sawit Malaysia, bertujuan untuk memupuk hubungan yang bermakna, meneroka potensi perkongsian dan memanfaatkan peluang pasaran negara berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Belvinder Sron berkata eksport ke pasaran Asean menyumbang sembilan peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia pada 2022.

“Filipina, Vietnam dan Myanmar memegang bahagian pasaran yang besar sebanyak 80 peratus di rantau ini, menjadikan penyertaan mereka penting untuk kejayaan acara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyatakan  negara-negara ini menyaksikan penggunaan gabungan minyak dan lemak yang luar biasa, mencecah kira-kira 4.5 juta tan tahun lalu.

“Minyak sawit muncul sebagai minyak yang paling banyak digunakan, menguasai lebih 60 peratus daripada jumlah bahagian pasaran minyak dan lemak.

“Dapat dilihat bahawa hampir semua minyak sawit yang digunakan di negara-negara ini adalah diimport, memberikan peluang besar kepada syarikat minyak sawit Malaysia,” katanya.

Belvinder berkongsi faktor pendorong di sebalik potensi pertumbuhan dalam pasaran ini ialah pengembangan kukuh sektor makanan dan minuman, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar yang mengagumkan, peningkatan pendapatan per kapita, pembandaran pesat dan populasi pengguna kelas pertengahan yang semakin berkembang.

Loading...
Terkini