Tumpuan :
Detik Niaga

Industri minyak dan gas huluan Malaysia kekal menarik bagi pelabur – BMI

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Industri minyak dan gas huluan Malaysia kekal rancak dan terus menarik pelabur atau kontraktor pengaturan petroleum (PAC) seperti yang dibuktikan menerusi penyertaan dalam pusingan bidaan petroleum sebelum ini, menurut BMI.

Syarikat penyelesaian Fitch itu berpandangan bahawa sektor huluan negara bersedia untuk mencatatkan pertumbuhan seterusnya pada 2024 apabila kerajaan terus mempromosikan blok luar pesisir untuk cari gali.

Pada 2023, Malaysia mencapai kemajuan ketara dalam segmen minyak dan gas huluan apabila Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan PAC merekodkan 21 penemuan cari gali dan dua kejayaan penilaian cari gali.

Menurut Petronas semua penemuan itu boleh menyumbang kepada lebih 1 bilion tong bersamaan minyak sumber baharu untuk Malaysia pada 2023, dengan 16 penemuan terletak di lembangan Balingian, Barat dan Luconia Tengah di Sarawak, manakala tiga lagi terletak di Sabah, tambah BMI.

“Penemuan baharu pastinya meningkatkan usaha Malaysia untuk memulihkan pengeluaran minyak dan gas yang semakin berkurangan dan boleh menyokong pengeluaran dan eksport gas asli cecair (LNG),” jelasnya menerusi nota analisis trend industri pada Khamis.

BMI turut berpendapat bahawa Petronas telah memulakan 2024 dengan baik apabila memperoleh tujuh kontrak perkongsian pengeluaran (PSC).

Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), yang menguruskan rizab minyak dan gas Malaysia, memberikan tujuh PSC untuk enam blok cari gali dan satu kluster peluang sumber ditemui (DRO) yang ditawarkan di bawah Pusingan Bidaan Malaysia 2023 (MBR 2023).

PSC baharu itu diberikan kepada Petronas, E&P Malaysia Venture Sdn Bhd (EPMV), Petroleum Sarawak Exploration & Production Sdn Bhd (PSEP), SMJ Energy Sdn Bhd, INPEX Malaysia E&P, PT Pertamina Malaysia Eksplorasi Produksi, Jadestone Energy Inc, Sarawak Shell Bhd dan E&P O&M Services Sdn Bhd.

Petronas menjangkakan kontrak itu menjana lebih RM1.3 bilion (US$277 juta) nilai pelaburan modal dalam aktiviti cari gali.

Menurut BMI secara keseluruhan, Malaysia telah menandatangani sembilan PSC pada suku pertama 2024.

Petronas juga telah melancarkan Pusingan Bidaan Malaysia 2024 (MBR 2024), menawarkan lima blok cari gali dan lima kluster DRO kepada pelabur yang berpotensi.

“Pemenang pusingan bidaan ini dijangka diumumkan pada suku ketiga 2024.

“Pelancaran pusingan bidaan petroleum berturut-turut, dengan tumpuan kepada cari gali dan pengeluaran gas asli, menunjukkan gas asli akan kekal sebagai komponen penting dalam campuran bekalan tenaga Malaysia,” jelasnya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini