Oleh: Afrina Romzi
KUALA LUMPUR/RAUB: Durian, raja buah yang kini mempunyai peminat di seluruh dunia termasuk China, antara negara dengan pasaran terbesar.
Jenis Musang King dan Duri Hitam cukup terkenal di negara tembok besar itu sehingga mampu mengatasi minat bagi durian Thailand, Vietnam mahupun Indonesia.
Tahun lalu, RM1.3 bilion produk durian sejuk beku dihantar ke luar negara dengan China sahaja mengimport lebih 90 peratus, sekaligus menjadi pasaran fokus ketika ini.
Durian Malaysia sudah dieksport ke China tetapi dalam bentuk sejuk beku. Justeru, keputusan kerajaan China membenarkan eksport buah durian segar Malaysia baru-baru ini akan mencetuskan lonjakan eksport durian bermula Oktober depan.
Ini kerana durian Malaysia menjadi tarikan rakyat China sejak lebih dua dekad lalu.
“Ketika saya bertugas di China 20 tahun lalu, sebanyak 300 kedai 7-Eleven di Beijing dan Qianjiang, ketika itu produk Malaysia yang paling popular ialah aiskrim potong durian. Dalam masa dua minggu sahaja, 300 kedai ini telah menjual 80,000 ais krim batang,” Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akselerasi Eksport), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof kepada Buletin TV3 di Kuala Lumpur.
“Durian Malaysia tidak sama macam durian negara lain sebab durian negara lain lebih tertumpu kepada satu jenis buah durian sahaja. Tetapi untuk buah Malaysia kita ada lebih 200 jenis berlainan,” kata Presiden Persatuan Pengilang Durian (DMA) Eric Chan kepada BuletinTV3 di Raub, Pahang.
Saingan dalam pasaran China agak sengit kerana tiga negara iaitu Thailand, Vietnam dan Filipina sudah bertapak di negara itu.
Ketika ini, Thailand mendominasi pasaran diikuti Vietnam. Bagi tahun 2024, walaupun terdapat penurunan, Thailand dijangka mengeksport 800,000 tan durian ke China manakala Vietnam 500,000 tan.
Buat permulaan, Malaysia yang menghasilkan kira-kira 400,000 tan durian setahun menyasarkan untuk mengeksport 30,000 tan.
Jumlah kecil terbabit tidak menjadi penghalang kerana Malaysia sememangnya mempelopori segmen durian premium dari segi kualiti rasa, warna dan isi yang menarik berbanding negara lain.
Kualiti durian Malaysia khususnya Musang King dan Duri Hitam sememangnya tiada tandingan.
“Saya boleh bercakap dengan yakin, apabila mereka (rakyat China) sudah merasa durian Malaysia, mereka tidak akan cuba buah dari negara lain,” kata Presiden DMA, Eric Chan secara berseloroh.
Justeru, tidak hairan harga durian Musang King mececah lebih tiga kali ganda berbanding durian Thailand dan Vietnam.
“30 hingga 40 peratus penduduk China berjumlah 1.4 bilion adalah dikategori peringkat pertengahan dan tinggi. Jadi memang tidak ada masalah dari segi permintaan sebab rakyat China mempunyai kuasa beli yang tinggi,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akselerasi Eksport), MATRADE, Abu Bakar Yusof.
Sekitar 30 syarikat tempatan bakal terbabit dalam eksport durian segar ke China. Manakala 20 lagi pemain baharu dijangka muncul dan akan melonjakkan nilai eksport durian ke negara itu.
Menurut DMA, eksport durian Malaysia baru bermula. Populariti raja buah itu sememangnya tidak dapat dinafikan.
Di mana ada penggemar durian, di situ wujudnya peluang perniagaan. Selepas China, pasaran Asia Barat dilihat menjadi sasaran seterusnya untuk Malaysia mengeksport durian segar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.