Oleh Afrina Romzi
SEPANG: Industri biojisim negara berpotensi meraih pendapatan sehingga RM10 bilion menjelang 2025, dengan anggaran hasil 168 juta tan biojisim setahun.
Ia mampu dicapai menerusi usaha termasuk kerjasama antara NanoMalaysia Bhd (NanoMalaysia), NanoQuartz Sdn Bhd serta XMU Jiageng Education Development Sdn Bhd dalam Program Ekonomi Kitaran Biojisim (BICEP).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata BICEP akan menerajui pembangunan teknologi strategik dan inovasi dengan mendorong pengkomersialan bahan mentah bernilai “sisa yang berharga” untuk menjadi hab biojisim terkemuka di rantau ini.
“Dengan status Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dan penyumbang industri biojisim terbesar di dunia, negara menghasilkan anggaran 168 juta tan biojisim dan daripada jumlah ini, lebih 80 juta tan dihasilkan oleh industri minyak sawit,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara NanoMalaysia, NanoQuartz Sdn Bhd serta XMU Jiageng Education Development Sdn Bhd.
Menerusi kerjasama ini, projek NanoMalaysia akan membolehkan pengeluaran grafin dan hidrogen hijau dengan memecahkan metana daripada sisa pertanian menggunakan teknologi plasma gelombang mikro termaju.
Usaha in menyokong ekosistem aplikasi hiliran dan memenuhi permintaan pengeluar yang semakin meningkat dalam penyimpanan tenaga, penukaran tenaga, pemangkinan, tenaga solar dan perlindungan alam sekitar.
Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Rezal Khairi Ahmad, berkata syarikat sedang melaksanakan pelbagai projek yang menggunakan biojisim tempatan untuk menghasilkan bahan termaju berskala nano bernilai tinggi.
Bahan ini dapat digunakan dalam sektor termasuk penjagaan kesihatan, kosmeseutikal, pembinaan, elektronik dan tenaga, sekaligus melengkapkan rantaian bekalan tempatan.
Susulan kekurangan grafin tempatan, syarikat sedang memperkukuh hasil grafin dan hidrogen hijau untuk mempertingkatkan pengeluaran bagi produk dan aplikasi hiliran.
Dalam pada itu, pihak Universiti Xiamen Malaysia bakal terlibat sama dalam penyelidikan dan pembangunan untuk membantu mempercepatkan inovasi dan pengkomersialan produk.