comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

India mahu tingkat import minyak sawit mentah Malaysia – Fadillah

SAMARAHAN: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang memperincikan kaedah untuk memenuhi permintaan India yang mahu meningkatkan import minyak sawit mentah (CPO).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata India kini adalah pengimport terbesar CPO Malaysia membabitkan sejumlah empat juta tan metrik setahun.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, jumlah itu tidak mencukupi dan India meminta ia ditingkatkan kepada enam juta tan metrik.

“Namun, kita tidak dapat menjual semua CPO kita kepada satu-satu negara saja. Ini kerana kita juga memerlukan CPO untuk diproses bagi memenuhi permintaan eksport produk sawit.

“Oleh itu, kita sedang memperincikan permintaan mereka (India) yang mahu lebih banyak CPO dari negara kita,” katanya kepada pemberita pada Program Trek Komoditi Zon Sarawak bersama pengusaha tanaman koko di Kampung Serpan Laut, Asajaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, Malaysia tidak dapat memenuhi semua permintaan negara yang mahukan CPO.

Beliau menjelaskan, ini kerana Malaysia juga memerlukannya dalam kuantiti besar untuk diproses sebagai produk hiliran berikutan peningkatan permintaan, terutama daripada sektor oleokimia dan makanan haiwan yang berkembang pesat di China.

“Justeru, kita kini memberi keutamaan kepada China kerana mereka meningkatkan import minyak sawit yang sudah diproses kepada 3.4 juta tan metrik, tahun depan.

“China bersetuju menerima pakai Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), dan kita juga bekerjasama dengan Kementerian Pertanian China untuk mengembangkan lagi produk hiliran minyak sawit dengan salah satu komponennya ialah kapsul vitamin E dan minyak sawit merah,” katanya.

Loading...
Terkini