KUALA LUMPUR: Indeks Pengurus Pembelian (IPP) pembuatan Malaysia susut kepada 47.7 bagi Jun 2023 daripada 47.8 yang dicatatkan pada Mei 2023, menunjukkan penyederhanaan seterusnya dalam sektor pembuatan Malaysia, menurut S&P Global.
Dalam nota penyelidikan pada Isnin, Ahli Ekonomi Perisikan Pasaran S&P Global, Usamah Bhatti berkata terdapat petanda selanjutnya pada Jun bahawa keadaan perniagaan dalam sektor pembuatan Malaysia kekal suram sekali gus mengekang pengeluaran dan permintaan.
“Walaupun operasi masih dibantu oleh persekitaran rantaian bekalan yang lebih baik namun, tekanan inflasi menunjukkan tanda-tanda meningkat, memandangkan pencepatan ketiga berturut-turut inflasi ke atas beban kos purata.
“Selain itu, keadaan permintaan lemah mempengaruhi keyakinan pihak pembuat kerana tahap keyakinan keseluruhan merosot kepada paras terendah dalam tempoh 23 bulan ekoran kebimbangan mengenai masa pemulihan permintaan dan kelesuan semasa akan berlarutan,” katanya.
Beliau berkata bacaan terkini menunjukkan trend data rasmi yang lemah bagi pengeluaran pembuatan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal sepanjang suku kedua tahun ini.
Menurut S&P Globa data utama yang lemah itu sebahagiannya disebabkan oleh kelembapan berterusan aliran masuk pesanan baharu yang merupakan kesepuluh dalam beberapa bulan.
Penyederhanaan itu kukuh dan yang paling kukuh dicatatkan sejak awal tahun ini apabila firma mengakui permintaan suram dan keyakinan pelanggan dalam pasaran domestik dan antarabangsa.
“Oleh itu, permintaan eksport bagi barangan perkilangan Malaysia terus menyusut dan pada kadar paling ketara selama empat bulan,” katanya.
Bhatti berkata bagi tempoh akan datang, pembuat Malaysia kekal optimis mengenai prospek keluaran akan datang tahun ini pada Jun dengan harapan permintaan meningkat pada separuh kedua tahun ini dan memberikan rangsangan kepada jualan. – BERNAMA