KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) berkembang 6.9 peratus pada 2022 berbanding 7.2 peratus pada tempoh sama tahun sebelumnya, didorong oleh kenaikan indeks pembuatan (8.2 peratus); indeks elektrik (4.5 peratus) dan indeks perlombongan (2.8 peratus), kata Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bagi keseluruhan suku terakhir 2022 itu, IPP meningkat pada kadar lebih perlahan 4.1 peratus berbanding suku sama 2021, dipengaruhi oleh pertumbuhan dalam indeks pembuatan (4.0 peratus) dan indeks perlombongan (6.2 peratus).
“Pada Disember, pertumbuhan susut pada 3.0 peratus daripada 4.8 peratus pada November 2022 yang dipacu oleh indeks perlombongan (4.1 peratus) dan indeks pembuatan (3.0 peratus),” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Uzir berkata output di sektor pembuatan berkembang 3.0 peratus pada Disember 2022 yang didorong oleh produk peralatan elektrik & elektronik (7.2 peratus); kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (8.5 peratus); produk makanan, minuman dan tembakau (3.4 peratus) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (2.2 peratus).
Menurutnya, penurunan lebih kecil dicatatkan dalam output produk petroleum, kimia, getah dan plastik (-0.9 peratus) dan produk tekstil, pakaian, kulit dan kasut (-0.5 peratus).
Selain itu, pengeluaran produk kayu, perabot, produk kertas dan percetakan terus susut sebanyak 4.3 peratus (November 2022 : -3.6 peratus), katanya. – BERNAMA