Tumpuan :
Detik Niaga

Indeks pelopor susut pada Januari 2023, prospek ekonomi jangka pendek Malaysia hadapi cabaran

 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Prospek ekonomi jangka pendek Malaysia terus menghadapi cabaran dengan Indeks Pelopor (IP) susut 1.5 peratus kepada 108.5 mata pada Januari 2023 daripada 110.2 mata pada Januari 2022, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

IP adalah alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata berdasarkan hala tuju yang digambarkan oleh penurunan kadar pertumbuhan IP terlicin pada Januari 2023 iaitu kekal mencatatkan arah aliran di bawah 100.0 mata, ia menunjukkan bahawa prospek ekonomi Malaysia jangka pendek akan terus menghadapi cabaran.

“Ini sejajar dengan ramalan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang menjangkakan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan pada 2023,” katanya dalam kenyataan mengenai Penunjuk Ekonomi Malaysia Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan Januari 2023 pada Jumaat.

Beliau berkata bilangan syarikat baru didaftar, import benar semikonduktor dan Indeks Perusahaan Bursa Malaysia adalah antara komponen yang menyebabkan penurunan IP.

Pada masa yang sama, IP bulanan turut mencatatkan penyusutan sebanyak 1.5 peratus pada Januari 2023 berbanding 0.1 peratus pada bulan sebelumnya, katanya.

Beliau berkata walau bagaimanapun, semua komponen menunjukkan penurunan kecuali Indeks Perusahaan Bursa Malaysia yang meningkat 0.3 peratus.

Mohd Uzir berkata bagi kedudukan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mencatatkan peningkatan 4.5 peratus tahun ke tahun kepada 119.5 mata pada Januari 2023 berbanding 114.3 mata pada Januari 2022.

Kenaikan ini disumbangkan terutama oleh Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit, katanya.

Beliau berkata walau bagaimanapun, perubahan bulanan IS mencatatkan penurunan sebanyak 0.7 peratus yang disebabkan oleh gaji dan upah benar, pembuatan (-0.3 peratus) serta Indeks Pengeluaran Perindustrian (-0.3 peratus).– BERNAMA

Loading...
Terkini