Tumpuan :
Detik Niaga

IHI, Gentari Hydrogen teroka pengeluaran ammonia hijau

IHI, Gentari Hydrogen teroka pengeluaran ammonia hijau.

KUALA LUMPUR: IHI Corp menjalinkan kerjasama dengan anak syarikat PETRONAS, Gentari Hydrogen Sdn Bhd untuk meneroka pengeluaran dan penjualan ammonia hijau di Malaysia.

Menurut syarikat itu dalam kenyataan, ia memeterai memorandum persefahaman dengan Gentari Hydrogen untuk menilai kebolehlaksanaan memanfaatkan sumber solar Malaysia yang banyak untuk menghasilkan dan menjual ammonia hijau yang diperolehi daripada tenaga boleh diperbaharui.

Di bawah memorandum itu, ia berkata kedua-dua pihak akan mempertimbangkan model perniagaan untuk pengeluaran ammonia di Johor, yang menjadi tapak yang sesuai untuk penjanaan tenaga solar.

Katanya, ammonia hijau yang dihasilkan akan digunakan secara tempatan untuk penjanaan kuasa dan bekalan bahan api marin, selain dieksport ke pasaran Jepun dan Asia.

“Dalam kajian ini, IHI akan menjalankan kajian teknikal dan tinjauan permintaan ammonia untuk Jepun. Pada masa sama, Gentari Hydrogen mengendalikan penilaian bekalan tenaga boleh diperbaharui dan pelbagai kemudahan di Malaysia, serta pelbagai tinjauan permintaan pasaran.

“Selepas menjalankan kajian kebolehlaksanaan yang berjalan sehingga awal tahun 2023, projek ini menyasar untuk membangunkan kilang pengeluaran ammonia komersial untuk memulakan operasi sebelum 2030.

“Pada masa ini, ammonia yang boleh didapati secara komersial yang berasal daripada bahan api fosil mengeluarkan karbon dioksida semasa pengeluaran.

Bagaimanapun, penggunaan ammonia hijau dalam segmen penggunaan akhir seperti penjanaan kuasa, bahan api marin dan bahan mentah untuk baja boleh mengekalkan pelepasan karbon dioksida sepanjang rantaian bekalan pada tahap yang rendah,” katanya.

IHI berkata, teknologi untuk pengeluaran, penyimpanan dan pengangkutan ammonia hijau sudah mantap dan berupaya mempercepatkan penggunaan pasaran.”Kedua-dua pihak berhasrat untuk menunjukkan beberapa model aplikasi ammonia di Malaysia melalui kemungkinan penerokaan ini,” katanya.

Kedua-dua pihak juga akan membina rantaian bekalan ammonia bahan api untuk menangani peningkatan masa depan dalam permintaan bahan api bersih.Dengan itu, ia akan membantu mempercepatkan penggunaan bahan api ammonia dan menyumbang kepada kemampanan yang lebih baik.

Loading...
Terkini