Tumpuan :
Detik Niaga

Iconic Penang labur RM180 juta untuk Iconic Marjorie Hotel di Bayan Lepas 

GEORGE TOWN: Iconic Penang Sdn Bhd melabur RM180 juta untuk Iconic Marjorie Hotel berkapasiti 298 bilik di Bayan Lepas yang dijadualkan dibuka pertengahan 2024.

Iconic dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, ia telah menandatangani perjanjian francais dengan Marriott International, yang akan menyaksikan hotel lima bintang itu menyertai Tribute Portfolio, iaitu merupakan sebahagian daripada rangkaian jenama, program pelancongan dan tawaran pengalaman Marriott yang terkenal.

Pengerusi Iconic Group Datuk Seri Tan Kean Tet berkata, beliau percaya perkongsian dengan Marriott, syarikat hotel terbesar di dunia, akan membuka lagi potensi nilai hartanah dan aset-aset hotel Iconic, dengan memanfaatkan jenama dan kehadiran Marriott yang luar biasa.

“Bergabung tenaga dengan Marriott akan membolehkan kumpulan mewujudkan hotel yang benar-benar mencerminkan status Pulau Pinang sebagai destinasi untuk pelancong dan pelabur bertaraf dunia.

“Di samping memberi layanan luar biasa, makanan dan hiburan kepada para tetamu dan penduduk tempatan, Iconic Marjorie Hotel dijangka mewujudkan ratusan pekerjaan dan peluang-peluang ekonomi yang lain,” tambahnya.

Iconic Marjorie Hotel akan menjadi hotel kedua di bawah kumpulan itu.

Hotel pertamanya ialah Iconic Hotel dengan 195 bilik di Seberang Perai, Pulau Pinang, yang dibuka pada 2016. — BERNAMA

Loading...
Terkini