BANGKOK: HYT Cross Border Sdn Bhd, fasilitator rentas sempadan e-dagang bersedia untuk mengembangkan kehadirannya di pasaran Asean tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Kyle Keah berkata selepas China, HYT telah meluaskan jejaknya di Thailand melalui Malaysia Halal Pavilion di Shopee Thailand awal bulan ini.
Melihat potensi besar dalam pasaran halal Asean, beliau berkata HYT bersedia untuk mengembangkan jejaknya di Indonesia, Vietnam dan Filipina pada akhir tahun ini.
“Kelas menengah yang semakin berkembang memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan e-dagang di Asean. Kami melihat mereka (kelas pertengahan) membeli lebih banyak produk import. Oleh itu, kami mahu meningkatkan kehadiran kami.
“Kami menjangkakan jualan RM20 juta tahun ini di China dan di empat pasaran baharu,” katanya kepada Bernama.
HYT Cross Border mengasaskan HYT China pada 2017 untuk membantu perniagaan Malaysia mengakses pasaran China dengan lebih mudah, lebih pantas dan lebih murah melalui penyelesaian bersepadunya dalam pelepasan kastam, gudang dan logistik, perlindungan tanda dagangan, jualan, pemasaran dan promosi.
Keah berkata krisis Covid-19 telah mempercepatkan pengembangan e-dagang antara 2020 dan 2022.
Bagaimanapun, beliau berkata dengan pembukaan semula sempadan dan kedai runcit, e-dagang global dijangka tumbuh agak perlahan.
“Pembelian luar dijangka mengatasi pembelian domestik.
“Pertumbuhan dalam pendapatan yang berterusan telah membawa kepada pertumbuhan yang ketara dalam e-dagang. Pengguna membeli-belah dalam talian untuk jenama asing. Lebih ramai yang sanggup mencuba produk import,” katanya
Keah berkata HYT komited untuk menyokong perniagaan halal Malaysia.
“HYT akan berusaha untuk meningkatkan keterlihatan produk halal Malaysia dan melibatkan perniagaan halal Malaysia dengan pemborong, pengedar dan peruncit dalam talian bagi menjadikan kehadiran mereka dirasai di rantau ini.
“Terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk produk halal Malaysia. Kami berharap perkhidmatan yang disediakan oleh HYT akan memberi lebih banyak pendedahan kepada jenama Malaysia,” katanya.
BERNAMA