Tumpuan :
Detik Niaga

Hotel pertama di Gamuda Cove bakal dibuka 2026

Wai Lune (dua dari kiri) bersama Chua (kiri), Siradej (dua dari kanan) dan Cretallaz (kanan) pada majlis pecah tanah Hotel ASAI Gamuda Cove di Kuala Langat, hari ini. FOTO: NSTP

KUALA LANGAT: Gamuda Land menambah portfolio baharu dalam perniagaannya menerusi pembangunan hotel pertamanya di perbandaran Gamuda Cove.

Rancangan itu dicapai menerusi pemeteraian perjanjian pengurusan hotel dengan Dusit Hotels and Resorts bagi membuka Hotel ASAI Gamuda Cove yang juga adalah hotel pertama syarikat dari Thailand itu di Malaysia.

Hotel berkenaan dijangka mula dibuka pada suku pertama 2026 dan menawarkan penginapan sebanyak 280 bilik.

Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Chu Wai Lune, berkata pembinaan hotel berkenaan membabitkan pelaburan di antara RM140 juta hingga RM150 juta.

“Hotel ini dijangka berstatus tiga bintang dan akan dibina bersebelahan dengan Paya Indah Discovery Wetlands yang menawarkan pemandangan menakjubkan buat penghuni hotel ini.

“Kami memilih Dusit sebagai pengendali hotel ini kerana mereka adalah dari Thailand, dan seperti mana kita tahu, negara itu menawarkan pengalaman terbaik untuk pelanggan dari segi layanan, perkhidmatan dan sentuhan insan.

“Selain itu kedudukan kita yang agak dekat dengan Thailand, jadi bagi kami ini adalah agak relevan buat kami untuk memilih Dusit sebagai rakan pengendali hotel di perbandaran ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian pengurusan hotel di antara Gamuda Land dengan Dusit Hotels and Resorts di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Pembangunan Global Dusit International, Siradej Donavanik; Ketua Pegawai Operasi Dusit International, Gilles Cretallaz dan Ketua Pegawai Komersil Gamuda Land, Eusoffe Chua.

Mengulas lanjut, Wai Lune berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk meneroka potensi bagi membangunkan hotel di perbandaran lain pada masa akan datang.

Loading...
Terkini