KUALA LUMPUR: HelloGold, platform teknologi kewangan (fintech) patuh Syariah mengumumkan penutupan operasinya di Malaysia dan Thailand pada 2 Februari ini.
Dalam makluman kepada pelanggannya menerusi hantaran di Facebook rasminya, HelloGold menjelaskan keputusan itu dibuat berikutan perniagaannya dilihat tidak lagi berdaya maju secara komersial dalam persekitaran pasaran semasa.
Beliau berkata, pelanggan HelloGold bebas untuk terus membeli dan menjual emas dan mengeluarkan wang tunai mereka sehingga 7 pagi waktu Malaysia pada 2 Februari 2023.
Katanya, sebarang emas yang kekal dalam akaun mereka selepas 7 pagi waktu Malaysia pada 2 Februari 2023 dan 6 pagi waktu Thailand akan dijual pada 12 tengah hari waktu Malaysia dan 11 pagi waktu Thailand pada 2 Februari itu pada harga semasa.
“Semua dana kemudiannya akan dipindahkan ke akaun bank pelanggan dalam tempoh lima hari bekerja,” katanya.
Bagi pelanggan Smart Saver, HelloGold berkata, semua emas Smart Saver akan dihantar ke akaun HelloGold untuk pelanggannya menjual dan mengeluarkan dana mereka selewat-lewatnya jam 12 tengah hari waktu Malaysia pada 27 Januari 2023.
“Kami menjangkakan bahawa platform mungkin mengalami trafik yang tinggi berikutan pengumuman ini dan oleh itu memohon maaf terlebih dulu atas sebarang kesulitan yang berlaku.
“Walau bagaimanapun, kami ingin meyakinkan pelanggan bahawa kami sedang mengambil langkah untuk meminimumkan sebarang kesulitan,” katanya.
HelloGold ditubuhkan pada 2015 sebagai aplikasi mudah alih patuh Syariah pertama di dunia yang mengubah cara membeli, menyimpan, menjual dan menebus emas fizikal.Ia mempunyai lebih 200,000 pengguna. – BERITA HARIAN